PERTUBUHAN Ikram Malaysia (Ikram) menyifatkan tindakan pemimpin dan tokoh masyarakat memperoleh ijazah akademik palsu sebagai mencemar nilai profesionalisme sesuatu bidang.
Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, senario berkenaan turut menghina nilai intelek individu lain yang berkecimpung dalam bidang siasah, ilmiah dan industri.
Menurutnya, tindakan berkenaan bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menimbulkan kesangsian terhadap keperibadian individu yang terlibat serta meruntuhkan reputasi ahli bidang dan institusi secara kolektif.
"Kita memandang serius berkenaan nilai integriti dalam kalangan pemimpin dan tokoh masyarakat.
"Ini termasuklah hal memperoleh ijazah palsu dan sindiket pemalsuan ijazah, mendakwa mempunyai kelayakan tertentu walaupun sebenarnya tiada, serta menggunakan gelaran-gelaran palsu berkaitan kelayakan dan kepakaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Biarpun kecoh, ijazah palsu masih dijual di Internet
ARTIKEL BERKAITAN: Sijil palsu: 30 hingga 40 kes direkod sebulan
ARTIKWL BERKAITAN: Undang-undang kawal ijazah palsu masih lemah
"Kita gesa tokoh masyarakat terutama ahli politik untuk pelihara integriti. Tokoh masyarakat berperanan besar dalam mencorak masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berintegriti," katanya.
Mohd Parid berkata, demi memelihara integriti dan kewibawaan diri, pihaknya menggesa kepada sesiapa yang tersilap dalam memelihara aspek berkenaan untuk membuat pembetulan, tidak kira dalam apa jua bentuk termasuk kad nama, laman web, media sosial dan lain-lain.
Bagaimanapun menurutnya, perlu diakui bahawa kompetensi, ilmu dan ketrampilan individu khususnya ahli politik dan tokoh masyarakat tidak diukur melalui sijil semata-mata.