BUDAK-BUDAK zaman sekarang jika ibu bapanya berduit, hendak beli seluar baju setiap hari pun boleh. Bila berjalan-jalan di pusat membeli-belah, ternampak seluar baju yang berkenan, tunjuk saja. Ibu bapa akan belikan. Jika tidak ada tunai, mereka sanggup tenyeh kad kredit.
Kalau tidak mahu beli di pusat membeli-belah, bisik-bisik pada ibu minta belikan secara dalam talian. Selalunya ibu tidak marah. Malah ibu suka. Kalau disuruh beli secara dalam talian itu sehari lima enam kali pun ibu tak kisah. Yang penting ibu ada modal untuk bercerita pada kawan-kawannya.
Tetapi 40 tahun dahulu keadaan berbeza. Budak-budak zaman saya kalau hendak beli baju kena tunggu musim raya. Itupun raya puasa sahaja sebab pada hari raya haji biasanya kami cuma ‘ulang pakai’ apa yang dipakai pada hari raya puasa. Selain itu peluang lain untuk memakai baju baharu adalah ketika penggal pertama persekolahan bermula.
Disebabkan jarang berpeluang memakai seluar baju baharu, maka budak-budak pada masa itu menganggap minggu kedua Ramadan dan seterusnya sebagai tempoh yang cukup istimewa. Itulah saat yang dinanti-nanti kerana bermula dari minggu kedua bulan puasa ibu bapa mula sibuk dengan urusan baju raya anak-anak.
Sama seperti budak-budak lain, saya juga sentiasa tidak sabar menanti saat itu. Saat ayah dan emak balik membawa baju raya untuk kami adik-beradik. Lebih manis lagi jika ayah dan emak membawa saya bersama dalam ‘operasi membeli baju raya’ itu. Kadang-kadang sehingga ke Teluk Intan. Tetapi ada masanya cuma setakat ke pekan Sabak Bernam.
Itu pun sudah cukup hebat kerana orang kampung hanya membeli baju raya cuma di pasar pagi Rabu atau pasar malam Selasa Sungai Besar.
Selalunya baju raya yang dibeli untuk saya dua atau tiga pasang. Yang sepasang semestinya baju Melayu, yang selebihnya baju dan seluar biasa, yang akan dipakai pada hari raya kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah setahun dua kemudian ia berakhir sebagai baju basahan.
Untuk mendapatkan baju raya pun bukan percuma. Ada tugasan. Ibu selalu kata,"Kalau berpuasa penuh (cukup sebulan), abah akan belikan sepasang baru raya. Jika puasa tak penuh, cuma dapat baju sahaja.”
Mujurnya saya sentiasa puasa penuh. Kalau sekali sekala tak penuh pun saya tidak beritahu sesiapa, jadi peluang saya untuk mendapat baju raya tidaklah terjejas. Kasut raya pula terserah pada selera ayah. Kadang-kadang dapat kasut tiada jenama namun biasanya selipar atau sandal.
Pernah sekali saya dibelikan capal ala-ala Aladdin. Bunyinya meletup-letap bila kita berjalan di atas simen. Kalau lembu nampak tentu ia tak berani masuk dekat sebab takut kena baling.
Tetapi ada juga ibu bapa yang bersedia lebih awal. Seorang kawan saya misalnya, semasa kami berumur 10 tahun ibunya belikan baju raya dua minggu sebelum Ramadan.
Alasannya hendak elak daripada bersesak-sesak dan harga pakaian yang selalunya melonjak naik ketika hari raya semakin hampir menjelang tiba. Tetapi ada jiran kata ibu kawan saya itu baru dapat duit jual tanah sebab itu dia tidak sabar-sabar hendak beraya.
"Bukan setakat kain baju raya, bahan buat kuih raya pun dia dah beli sejak bulan Syaaban lagi,” cerita jiran itu kepada ibu saya dengan mulut tersenget-senget macam orang sedang mengupas bawang.
Disebabkan dia ada baju raya lebih awal, kawan saya itu sentiasa bercerita tentang baju rayanya kepada saya dan kawan-kawan lain.
Cerita baju raya
Setiap kali berjumpa, itulah topiknya. Kalau sehari dia jumpa kami tiga kali, maka tiga kalilah dia bercerita tentang baju rayanya itu. Tak cukup dengan itu diajaknya kami ke rumah untuk melihat dia mencuba baju rayanya. Pada mulanya kami layan. Beramai-ramai kami ke rumahnya.
Keesokan harinya apabila diajak lagi, kami layan lagi walhal yang diperagakan hanyalah baju raya yang sama. Tetapi apabila dia terus mengajak pada hari-hari selepas itu, tiada siapa melayannya lagi.
Saya sangka masalah akan selesai di situ. Rupa-rupanya tidak, dia tidak berputus asa. Selepas dua hari tiada siapa yang mahu mengikut ke rumahnya, dia bawa baju rayanya itu untuk ditayang-tayang di tempat kami berkumpul pula!
Seorang kawan yang lain pula ibu bapanya suka membeli baju raya untuk ahli keluarga mereka pada saat-saat akhir. Selalunya selepas penyimpan mohor besar Raja-raja Melayu mengisytiharkan esok jadi raya ataupun tidak.
Jika raya jatuh pada keesokan hari, maka berkejarlah ibu bapanya ke bazar Aidilfitri untuk membeli pakaian raya dan kuih-muih. Alasan mereka pembelian di saat-saat akhir itu menguntungkan sebab peniaga selalunya menjual dengan ‘harga runtuh’.
Tetapi hendak dijadikan cerita, pada suatu malam raya hujan turun lebat. Keluarga kawan saya itu tidak mempunyai motokar. Kapcai pun cuma jenis yang kalau nampak polis kena belok masuk semak.
Disebabkan hujan berlarutan, agenda membeli baju raya dibatalkan. Keesokan harinya kawan saya itu beraya pakai baju Melayu sekolah sebab itulah sahaja satu-satunya baju yang ‘elok sikit’.
Seingat saya pada masa itu budaya berpakaian sedondon dalam kalangan ahli keluarga belum ada. Tidak pernah saya mendengar sesiapa bertanya,"Tahun ini baju raya kau orang tema apa?”.
Oleh itu adalah perkara biasa jika kita melihat pakaian anak beranak dan adik-beradik dalam sesebuah keluarga itu beragam-ragam. Bukan setakat beragam warnanya, fesyennya pun beragam juga. Abang pakai baju Melayu, adik baju kotak-kotak, kakak pakai kebaya, abang pakai kemeja-T Metallica, emak pakai baju kurung pesak, bapa pakai baju batik, nenek pakai baju kurung Kedah dan datuk pakai baju tahun lalu.
Saya melihat baju raya sedondon buat pertama kalinya semasa berumur 12 tahun. Pada masa itu saya dan beberapa orang kawan pergi beraya di rumah seorang kawan di Parit 9, Sungai Panjang. Kami pergi berbasikal dari Sungai Besar.
Sebaik sahaja sampai di rumahnya kami terkejut kerana mendapati semua ahli keluarga itu memakai baju raya yang sama warnanya iaitu kehijau-hijauan. Kain yang digunakan untuk membuat baju itu juga sama, jenis yang agak licin berkilat-kilat.
"Bapa saya belikan kain untuk emak buat langsir, tetapi ibu tak berkenan. Kerana tak hendak membazir, bapa suruh ibu gunakan kain tu buat baju raya kami adik-beradik,” jelas kawan kami itu dengan muka yang sama sekali tak macam orang beraya.
Sebelum kami balik, berkali-kali dia berpesan supaya kami tidak ceritakan perihal baju rayanya diperbuat daripada kain langsir itu kepada sesiapa, terutama kawan-kawan sekolah kami.
Kami pun berjanji. Dan kami benar-benar berpegang pada janji itu sehinggalah kira-kira sejam kemudian apabila singgah beraya di rumah seorang kawan lain di kampung yang sama!
Ibu selalu kata,"Kalau berpuasa penuh (cukup sebulan), abah akan belikan sepasang baru raya. Jika puasa tak penuh, cuma mendapat baju sahaja.
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia