138 hektar untuk Taman Agroteknologi Pertanian

Iklan
Henry Sum Agong (tengah) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Taman Agro Teknologi Perda antara Perda dan JPNPP di Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang.

GEORGETOWN - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menawarkan tanah seluas 138 hektar kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP) untuk membangunkan Taman Agroteknologi Pertanian PERDA.

Tanah tersebut akan dikawal selia bagi Program Food Security selama tempoh 10 tahun di bawah projek taman tersebut.

Iklan
Iklan

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong berkata, tanah itu melibatkan kawasan sedia ada iaitu kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan I (TKPM I) seluas 78.5 hektar.

Menurutnya, tanah itu juga melibatkan kawasan baru TKPM II seluas 59.5hektar yang mana kedua-duanya terletak di Ara Kuda, Tasek Gelugor di Seberang Perai Utara (SPU).

Iklan

"Tanah tersebut akan dikenali sebagai Taman Agroteknologi Pertanian PERDA yang dijangka bermula pada Jun ini. Ia akan dibangunkan oleh JPNPP sebagai Projek Perintis Taman Agroteknologi Pertanian PERDA menggunakan kaedah teknologi pintar dan terkini.

"Sebelum ini, TKPM I telah diusahakan semenjak 2007 melibatkan 35 peserta. Dari skop pembangunan, JPNPP akan menyediakan kemudahan infrastruktur dan sokongan teknikal manakala PERDA berperanan menyediakan tanah,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Taman Agroteknologi Pertanian PERDA antara PERDA dan JPNPP di Teluk Bahang, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, Pengurus Besar PERDA, Datuk Rosman Hashim dan Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Mohd Muhaimin Ibrahim.

Henry (tengah) melihat salah seorang pelajar yang menyertai program PERDA-TECH.

Tambahnya, antara objektif pembangunan taman itu adalah membangunkan kawasan pertanian moden dan sebagai hub pengeluaran benih.

"Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan negara di bawah Program Food Security. Ia juga sebagai meningkatkan sosio ekonomi penduduk serta menyediakan peluang pekerjaan.

"Ia juga dilihat dapat membantu petani dan pengusaha pertanian di negeri ini selain menjadi kawasan penyedia makanan sihat dan selamat. Kaedah

pemilihan peserta akan dibuat bersama antara PERDA dan JPNPP. Peserta terpilih akan mengusahakan tanaman kontan serta sayur-sayuran seperti halia.

"Peserta terpilih akan menandatangani perjanjian penyewaan bersama PERDA sebagai pemilik tanah. Menerusi MoU ini, saya berkeyakinan ia akan meningkatkan pengeluaran makanan negara serta membangunkan kawasan pertanian moden,” katanya.

Terdahulu, Henry mengadakan lawatan kerja ke projek PERDA antaranya melawat Institut Kemahiran Tinggi Perda (PERDA-TECH) di Bukit Panchor, Nibong Tebal, Projek Perumahan Sejahtera Rakyat(PPSR) Kuala Sungai Pinang di Balik Pulau dan Hotel Bahang Bay milik PERDA di Teluk Bahang.

Mengulas mengenai lawatan di PERDA-TECH, Henry berkata, PERDA-TECH menawarkan tujuh program di peringkat sijil dan diploma.

Henry (kiri) diiringi Henry (kiri) diiringi melawat PERDA-TECH yang terletak di Bukit Panchor, Nibong Tebal pada Isnin.

Tambahnya, antara program di peringkat sijil adalah Kejuruteraan Elektrik, Teknologi Kimpalan, Teknologi Automatif, Senireka Pakaian dan Multimedia Kreatif.

"Bagi peringkat diploma pula, antara program yang ditawarkan adalah Diploma Kemahiran Malaysia Teknologi Maklumat, Teknologi Kejuruteraan Senireka Produk dan Produksi Kreatif Filem dan Animasi.

"Selain itu, Program Khas Sukses Asas Kemahiran Teknikal (SAKTI) untuk pelajar yang tidak mempunyai tahap akademik mencukupi juga disediakan antaranya Sijil Kemahiran Khas Fabrikasi Logam dan Sijil Kemahiran Khas Pendawaian Elektrik,” katanya.

Henry berkata, sejak PERDA-TECH ditubuhkan sehingga tahun lalu, ia mempunyai 9,841 pelajar yang mana pelajar terkini sesi Januari 2021 adalah 438 orang.

Sementara itu, Khaliq berkata, Projek Perumahan Sejahtera Rakyat (PPSR) Kuala Sungai Pinang di Balik Pulau telah siap dan dijangka akan

menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Mei nanti.

"Projek itu terdiri daripada rumah kos rendah iaitu 46 unit rumah berkembar satu tingkat jenis A dan enam unit rumah berkembar satu tingkat jenis B. Ia terletak di Jalan Kuala Sungai Pinang/Lintang Nelayan.

"Kita memiliki tapak pada 27 Mac 2018 dan projek siap pada 8 Disember tahun lalu. Status terkini, ia sudah pun siap dan menunggu untuk memperoleh CCC,” katanya.