SHAH ALAM - Empat konsesi lebuh raya di bawah Kumpulan Gamuda iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Sprint Sdn Bhd dan Terowong SMART bergabung menyalurkan sumbangan 3,500 barangan dapur kepada keluarga asnaf dan miskin di sekitar negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Litrak, Sazally Saidi berkata, kesemua barangan bernilai RM 22,000 itu hasil sumbangan kakitangan empat kosensi lebuh raya terbabit.
Menurutnya, Projek Sumbangan Amal Ramadan 2021 itu bertujuan meringankan beban keluarga asnaf sempena Ramadan serta membantu anak yatim yang memerlukan membuat persiapan Aidilfitri.
"Bermula 22 Mac yang lalu, Kesas, Litrak, Sprint dan Terowong SMART melancarkan Program Pek Dapur Ramadan. Barangan dapur itu dipek semula dan diagihkan kepada 200 keluarga asnaf dan miskin.
"Sumbangan disalurkan menerusi Persatuan Kebajikan Al Fattah Bandar Sunway, Kumpulan NGI Misi Amal Bangi, Surau Nurul Sham Teluk Panglima Garang, Masjid Al Falah Shah Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Sentul,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan Pek Dapur Ramadan itu turut disalurkan kepada Gerobok-Gerobok Rezeki yang disediakan di surau terpilih untuk keperluan kariah yang memerlukan.
Tambah Sazally, pihaknya turut menganjurkan Program Shopping Spree bersama kanak-kanak Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Klang sebagai persiapan Aidilfitri.
"Seramai 37 anak-anak yatim menerima baucar membeli-belah bernilai RM200. Kami harap sumbangan itu dapat membantu terutama di waktu pandemik Covid 19 yang sukar kini,” katanya.