NEW DELHI - Satu gempa bumi kuat melanda Tezpur, Assam di timur laut India pada awal Rabu sehingga mengakibatkan sejumlah bangunan rosak.
Bagaimanapun kejadian itu tidak merekodkan sebarang kematian atau kecederaan.
Menurut AFP, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi tersebut mempunyai kekuatan 6.0 dengan pusatnya di wilayah berbukit dekat sempadan negara tersebut dengan Bhutan.
Bagaimanapun, gegaran dan gegaran susulan dapat dirasakan sejauh ratusan kilometer jauhnya sehingga ke negeri Bengal di utara India.
Gempa bumi itu menggegarkan bandar Tezpur yang didiami oleh 100,000 orang kira-kira 45 kilometer (km) dari pusat gempa.
Ia berlaku kira-kira jam 7.51 pagi waktu tempatan.
Ramai orang memenuhi jalan-jalan dan sejumlah bangunan mengalami kerosakan akibat gempa bumi tersebut.
Malah, di ibu negeri Guwahati yang terletak kira-kira 150km ke selatan, gempa bumi tersebut menggegarkan beberapa buah bangunan dan menyebabkan dinding bangunan mengalami retakan.
Menurut beberapa penduduk, dua gegaran susulan yang kuat berlaku selepas gempa bumi itu.
Wilayah Himalaya kerap dilanda gempa bumi kuat.
Pada tahun 1950, satu gempa bumi kuat telah menyebabkan kira-kira 4,800 orang terbunuh di Assam dan Tibet. - Agensi