Muhyiddin lancar Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19

Iklan
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 yang melibatkan pemerkasaan komuniti bandar dan luar bandar untuk bersama-sama memastikan kejayaan membendung penularan jangkitan Covid-19.

Muhyiddin berkata, pertandingan itu akan diurusetiakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk kategori komuniti bandar dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi kategori luar bandar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.7 juta sebagai hadiah pertandingan itu yang bertemakan 'Komuniti Perkasa, Negara Sejahtera', iaitu sebanyak RM50,000 dalam bentuk nilai projek pembangunan yang akan diberikan kepada Komuniti Zon Hijau Covid-19 yang dipilih sebagai pemenang.

"Sebanyak 20 pemenang bagi kategori luar bandar dan 14 pemenang bagi kategori bandar akan dipilih," katanya ketika melancarkan pertandingan itu di sini.

Iklan

Pada majlis itu, Muhyiddin menyerahkan replika cek dengan jumlah RM1 juta kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan RM700,000 kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin bagi melaksanakan pertandingan tersebut.

Muhyiddin berkata, kategori pertandingan komuniti bandar khusus kepada perumahan strata jenis flat, pangsapuri dan apartmen, manakala kategori komuniti luar bandar terdiri daripada kampung tradisional, rumah panjang dan kampung orang Asal.

Iklan

Beliau berkata, Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 itu bukan sahaja menggalakkan komuniti untuk membudayakan norma baharu tetapi juga memperkasakan peranan komuniti bersama-sama pihak kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 yang seterusnya memastikan warga komuniti bebas daripada jangkitan.

"Insya-ALLAH, segala jerih perih, komitmen dan usaha pimpinan dan ahli komuniti di kawasan masing-masing untuk membanteras ancaman Covid-19 akan dapat diterjemah dan dihargai melalui pertandingan ini," katanya.

Beliau berkata, antara projek pembangunan untuk pemenang ialah naik taraf ruang rekreasi komuniti, baik pulih surau komuniti, membina perpustakaan komuniti dan lain-lain projek komuniti yang bersesuaian. - Bernama