Perokok dijangkiti Covid-19 berdepan komplikasi dua kali ganda

Iklan
Dr Noor Azmi (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada YDP Pemadam, Datuk Omar Osman selepas melancarkan Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Fasa Tiga di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada Rabu. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Risiko kerosakan hati, buah pinggang dan sindrom gangguan pernafasan akut adalah antara komplikasi teruk yang dihadapi golongan perokok yang dijangkiti Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, data itu diperoleh melalui kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai risiko komplikasi golongan perokok dijangkiti Covid-19 terhadap 5,889 kes Covid-19 yang dirawat di seluruh negara dari 1 Feb hingga 31 Mei 2020.

Iklan
Iklan

Daripada 5,889 pesakit itu, seramai 791 individu adalah perokok dengan 773 daripadanya merupakan perokok lelaki (97.7 peratus) manakala 18 lagi (2.3 peratus) adalah wanita, dan 5,098 lagi bukan perokok, dengan majoriti berumur 30 tahun ke atas.

"Perbandingan yang telah dibuat antara golongan perokok dan bukan perokok menunjukkan bahawa golongan perokok berisiko hampir dua kali ganda mendapat komplikasi teruk berbanding bukan perokok,” katanya pada sidang media mengenai hasil dapatan kajian tersebut di sini pada Rabu.

Iklan

Kajian itu merupakan kerjasama KKM melalui Bahagian Kawalan Penyakit, Bahagian Perkembangan Perubatan dan Institut Kesihatan Negara dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Beliau berkata, penemuan kajian berkenaan juga selari dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 Jun lepas mengenai kesan rokok dan jangkitan Covid-19.

Iklan

Ketua Sektor Kawalan Tembakau KKM dan Urusetia Pelan Tindakan Kawalan Tembakau Serantau (FCTC) Dr Nor Aryana Hassan ketika memperincikan hasil kajian itu berkata, daripada 791 perokok terbabit, mereka turut mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu darah tinggi sebanyak 16.7 peratus, diabetes (12.3 peratus), masalah jantung (5.2 peratus) dan paru-paru kronik 1.1 peratus.

Menurut Dr Nor Aryana, kajian juga menunjukkan 14.2 peratus perokok merupakan pesakit Covid-19 kategori tiga iaitu mempunyai jangkitan paru-paru namun tidak memerlukan bantuan pernafasan, 4.4 peratus ialah kategori empat iaitu mempunyai jangkitan paru-paru dengan keperluan bantuan pernafasan manakala 1.6 peratus pesakit lagi adalah kategori lima iaitu kritikal.

Terdahulu, Dr Noor Azmi melancarkan perkhidmatan berhenti merokok mQuit fasa tiga iaitu dengan menambah baik perkhidmatan dalam talian https://jomquit.com/ sedia ada untuk memudahkan proses pendaftaran dan kebolehcapaian perkhidmatan tersebut.

Sebagai tambahan, katanya pembentukan Rakan Nasihat Komuniti (RNK) oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia akan membantu dalam memberi maklumat berkaitan perkhidmatan berhenti merokok melalui laman sesawang tersebut. - Bernama