PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane menyifatkan keputusan seri 1-1 dilakar Los Blancos ketika melayan kunjungan Chelsea pada separuh akhir pertama di Stadium Alfredo di Stefano sebagai keputusan yang adil.
Malah bekas peledak Real berusia 48 tahun itu mengakui gergasi La Liga itu bergelut mencari rentak pada babak pertama apabila anak buah Thomas Tuchel memberikan tekanan dalam perlawanan tersebut.
"Keputusan yang adil kepada kelab ini selepas kami bergelut pada babak pertama, namun pemain-pemain berjaya kembali mengimbangi permainan lawan pada babak kedua.
"Pada babak kedua kami bertambah baik setelah melakukan beberapa perubahan taktikal. Kami lebih kompak dalam tekanan semasa menyerang kubu Chelsea.
"Keputusan diperoleh dalam perlawanan ini adalah adil selepas berdepan antara kelab terbaik Eropah memiliki pemain-pemain yang pantas terutama ketika menyerang. Saya pasti perlawanan timbal balik kedua lebih sengit,” katanya.
Pada perlawanan itu, pemain The Blues, Christian Pulisic terlebih dulu meletakkan pelawat di depan pada minit ke-14 sebelum Karim Benzema menyamakan kedudukan pada minit ke-29.
Mengulas mengenai prestasi Benzema, Zidane berkata, beliau bangga dengan komitmen dipamerkan pemain Perancis tersebut.
"Benzema cukup mengagumkan dan saya gembira dengannya. Saya tidak terkejut dengan apa yang dia lakukan dalam setiap perlawanan.
"Tetapi keseluruhannya saya bangga dengan semua pemain dan usaha yang mereka berikan hari ini. Ya, kami berdepan tekanan tetapi saya gembira kerana pemain-pemain juga yang kembali menghidupkan peluang.
"Misi kami selepas ini pergi ke London dan berusaha menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan,” katanya.