Amrin Awaluddin letak jawatan Ketua Eksekutif LTAT

Iklan
Amrin Awaluddin

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada Rabu mengumumkan Datuk Seri Amrin Awaluddin meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif LTAT berkuat kuasa 1 Mei ini.

Peletakan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji yang baharu baru-baru ini berkuat kuasa 6 Mei.

Iklan
Iklan

Pengerusi LTAT Jen (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, selain itu lembaga itu juga mengumumkan Ketua Pegawai Kewangan LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi akan menggalas tugas sebagai Ketua Eksekutif LTAT mulai 3 Mei sehingga pelantikan Ketua Eksekutif yang baharu diumumkan.

Mohd Zahidi berkata, Amrin berjaya memberikan kesinambungan terhadap pelaksanaan Pelan Transformasi LTAT yang bermula pada awal 2019.

Iklan

"Dengan pengalamannya, beliau (Amrin) telah berjaya memupuk budaya korporat yang prihatin serta nilai tanggungjawab tinggi ke arah pembentukan LTAT sebagai sebuah organisasi pengurusan dana bertaraf dunia.

"LTAT kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk memberikan nilai tambah kepada pihak berkepentingannya dengan memastikan Pelan Transformasi LTAT kekal berada di landasan yang betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Mohd Zahidi berkata berkat Amrin dan warga LTAT keseluruhannya, telah membolehkan LTAT melancarkan aplikasi ‘MyWira’ pada Isnin lepas.

Aplikasi itu memudahkan pencarumnya berurusan dengan LTAT secara dalam talian dan pengenalan aplikasi itu adalah langkah mendekati pencarum LTAT serta berharap ia dimanfaatkan sepenuhnya.

"Setinggi-tinggi terima kasih kepada Amrin atas sumbangan beliau terutamanya dalam merapatkan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan juga Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan usaha untuk merealisasikan pengisytiharan dividen bagi tahun 2020 yang bakal diumumkan kelak,” katanya.

LTAT adalah sebuah badan berkanun kerajaan yang menyediakan kemudahan skim simpanan persaraan untuk pegawai, anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia dan anggota kerahan sukarela yang mempunyai seramai 110,000 pencarum aktif.

Di bawah skim LTAT, pencarum wajib dikehendaki mencarum 10 peratus daripada gaji bulanan dan kerajaan akan mencarum sebanyak 15 peratus sebagai majikan kepada LTAT.