SEREMBAN - Seramai 449 individu kategori fasa kedua gagal menghadiri tarikh temu janji pemberian vaksin Covid-19 di Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia melibatkan seramai 340 individu yang sepatutnya menerima vaksin pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Seremban dan seramai 109 individu di PPV Jempol.
Menurutnya, antara alasan yang diberi ialah mengubah fikiran pada saat akhir, tidak perasan tarikh temu janji dan mahu menukar jenis vaksin.
"Bagi saya bilangan yang tidak hadir temu janji vaksin ini agak tinggi.
"Saya harap semua dapat mengikut tarikh temu janji yang ditetapkan. Yang belum daftar, daftar segera dan jangan berlumba-lumba di saat akhir.
"Kita tidak mahu ada kesesakan yang akan menyusahkan petugas barisan hadapan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Menurutnya, keseluruhan penerima vaksin bagi fasa satu untuk suntikan dos pertama telah selesai melibatkan seramai 32,315 orang manakala untuk dos kedua selesai 72.2 peratus.
Ujarnya, bagi penerima vaksin fasa kedua yang bermula pada 19 April sehingga Selasa (semalam) seramai 1,472 telah menerima vaksin di PPV Seremban dan seramai 1,241 di PPV Jempol.
"Sehingga semalam (Selasa) seramai 384,810 penduduk di Negeri Sembilan sudah membuat pendaftaran vaksin namun bagi saya ia masih rendah," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri bercadang membeli vaksin, beliau berkata, tiada keperluan kerana proses pemberian vaksin yang diuruskan oleh kerajaan Persekutuan berjalan dengan baik.
"Kita yakin bahawa jumlah yang mampu divaksin dalam sehari sekurang-kurangnya 3,500 orang dan tidak termasuk di Klinik Kesihatan Daerah," katanya.