Kerajaan perlu angkat isu diskriminasi terhadap wanita

Iklan
Hannah Yeoh, Mohd Azis

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengangkat isu diskriminasi terhadap kaum susulan saman difailkan sebuah persatuan bersama enam wanita yang berkahwin dengan warga asing sebelum ini.

Saman yang difailkan pihak berkenaan pada akhir tahun lalu itu bertujuan memperjuangkan hak kewarganegaraan buat anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jaman menerusi satu kenyataan bersama pada Rabu berkata, perjuangan terhadap isu itu merupakan tugas asas sebuah kerajaan yang prihatin dan perkara tersebut sewajarnya mendapat perhatian serius.

"Menamakan diri sebagai sebuah kerajaan prihatin tidak memadai tanpa disusuli dengan tindakan dan polisi yang mencerminkan nama tersebut.

Iklan

"Jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak bersedia untuk terjun dalam perjuangan ini, beri laluan kepada mereka yang layak dan bersedia menyinsing lengan melakukannya," katanya.

Kerajaan Malaysia pada Selasa memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya membatalkan saman difailkan sebuah persatuan dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing, bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat hak kewarganegaraan.

Iklan

Antara alasan permohonan itu perlu dibatalkan adalah saman yang difailkan melalui saman pemula adalah suatu yang remeh serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut berkata, sewaktu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di bawah pentadbiran bekas menterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isu seperti itu akan segera diselesaikan dengan libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membela nasib golongan berkenaan.

"Kami menjangkakan sebagai sebuah kerajaan prihatin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun akan segera tampil mempertahankan tuntutan para ibu ini namun sehingga kini kami tertanya di manakah suara beliau selepas isu ini dibangkitkan," katanya.