Mansuh UPSR: KPM perkasa Pentaksiran Bilik Darjah

Iklan
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media khas di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi 2021 dibatalkan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, dengan pemansuhan UPSR, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkasakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mulai tahun ini sebagai kaedah pentaksiran murid.

Iklan
Iklan

Katanya, KPM akan memberi penjelasan kepada guru mengenai pemerkasaan PBD yang akan laksanakan nanti.

"Bagi kemasukan murid ke Tingkatan Satu sekolah khusus untuk tahun 2022, seperti mana yang kita laksanakan tahun ini, ia akan dibuat berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Iklan

"Selari dengan pemansuhan UPSR, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) untuk murid berkeperluan khas juga dimansuhkan. Penilaian untuk murid berkeperluan khas ini akan dilaksanakan di peringkat sekolah melalui PBD," katanya pada sidang akhbar khas yang diadakan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, keputusan besar memansuhkan UPSR dibuat hasil sesi libat urus menyeluruh yang dijalankan KPM.

Iklan

Menurut beliau, ia membabitkan lebih 1,700 peserta seluruh negara terdiri daripada guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kesatuan dan persatuan yang berkaitan serta murid.

"Saya bersama pegawai kementerian turut menghadiri kesemua sesi itu dan berdasarkan libat urus itu kita mendapat pelbagai pandangan dan input bermanfaat," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi memberitahu, KPM juga membuat ketetapan PT3 pada tahun ini dibatalkan sepertimana tahun lalu.

Katanya, antara asas utama yang dipertimbangkan KPM dalam membuat keputusan membatalkan PT3 bagi 2021 adalah mengambil kira masa yang terhad bagi pelajar membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru-guru di sekolah.

"Jika kita lihat keadaan penularan Covid-19, ia masih belum dapat ditangani sepenuhnya.

"Kita mengambil kira bahawa tanpa pelaksanaan PT3 tahun ini pun, kaedah pentaksiran pelajar boleh terus dilaksanakan," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, pentaksiran pelajar Tingkatan Tiga bagi tahun ini adalah sebagaimana tahun lalu iaitu berdasarkan tiga komponen utama iaitu PBD, Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Menyentuh mengenai kemasukan ke Tingkatan Empat bagi sekolah khusus pula, Mohd Radzi menjelaskan, kemasukan itu akan dibuat berdasarkan PKSK.

Katanya, ia bermakna sekiranya pelajar berhasrat memasuki sekolah asrama penuh pada tahun 2022, mereka boleh menduduki PKSK pada tahun ini.

"Kesimpulannya, PT3 dibatalkan tetapi pentaksiran itu kekal dalam Sistem Pentaksiran Kebangsaan.

"Ia berbeza dengan UPSR. UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun 2021 dan tidak ada peperiksaan ganti lain untuk murid Tahun Enam," katanya.