Cuai punca kebakaran rumah, premis: Bomba

Iklan
Kok Seong (tiga kiri) dan Abd Rahman (dua kiri) ketika majlis berkenaan di Palm Mall, Seremban pada Rabu.

SEREMBAN - Cuai serta tidak mengambil berat menangani bahaya kebakaran antara faktor yang menyumbang insiden kebakaran melibatkan rumah dan premis.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Abd Rahman Ali berkata, kebanyakan kebakaran terjadi akibat penggunaan tenaga elektrik berlebihan selain kecuaian ketika mengendalikan perkakas elektrik.

Iklan
Iklan

"Justeru JBPM Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan pelbagai kempen bagi memastikan masyarakat dapat menimba ilmu tentang kesedaran dan keselamatan kebakaran.

"Bagaimanapun kita berharap kesedaran ini tidak terhenti setakat kempen-kempen berkenaan diadakan sebaliknya dihayati sampai bila-bila agar keluarga dan masyarakat sentiasa selamat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pelancaran Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Musim Perayaan Aidilfitri Ops Raya JBPM Negeri Sembilan tahun 2021 di Palm Mall di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Exco Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata, panggilan kebakaran dan kecemasan yang diterima pihaknya menunjukkan penurunan dalam tempoh empat bulan ini berbanding tahun lepas.

Iklan

"Tahun lalu kita merekodkan sebanyak 2,494 panggilan manakala 2,186 panggilan diterima dalam tempoh sama tahun ini," katanya.

Tambahnya, JBPM Negeri Sembilan menetapkan sasaran sebanyak 78 pemeriksaan premis di Negeri Sembilan pada tahun ini.

"Kita berharap semua premis di Negeri Sembilan dapat mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin selain kita tidak teragak-agak mengambil tindakan kompaun ke atas kesalahan yang dilakukan oleh pihak premis," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Kok Seong menegaskan supaya orang ramai tidak menuding jari menyalahkan antara satu sama lain apabila berlaku sesuatu bencana yang tidak diingini lebih-lebih lagi apabila melibatkan kehilangan nyawa.

"Sekiranya terdapat mangsa yang terkorban, maka secara spontan pihak bomba akan dipersalahkan.

"Adalah tidak wajar, kesalahan ini diletakkan kepada bahu pasukan bomba semata-mata, sebaliknya semua pihak perlu sedar bahawa keselamatan kebakaran adalah menjadi tanggungjawab bersama," katanya.