JAIPk lancar OACP elak kakitangan terjebak gejala rasuah

Iklan
Saarani menyerahkan buku pelan OACP kepada Mohd Yusop (kanan) disaksikan Mohd Fauzi.

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 dengan fokus meningkatkan akauntabiliti dan kredibiliti dalam kalangan kakitangan jabatan itu.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pelan itu akan membantu institusi tersebut mengukuhkan isu tadbir urus (governan), integriti dan antirasuah melalui pematuhan undang-undang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun pihaknya dilihat sebagai jabatan yang bersih, namun mereka tidak terlepas daripada terdedah kepada sebarang amalan rasuah.

"Sebagai jabatan kerajaan sudah tentu tidak terlepas terdedah dengan gejala ini. Ada ruang-ruang seperti di institusi kewangan, perkahwinan misalnya nikah, perkara itu (rasuah) boleh terjadi jika ada pihak yang mengambil kesempatan.

Iklan

"Justeru, kita akan cuba elakkan. Selain Ikrar Bebas Rasuah, OACP ini mudah-mudahan dapat membantu mengawal kami daripada terjebak dengan gejala rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Agama Islam Perak yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Saarani (tengah) melancarkam Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Agama Islam Perak.

Mohd Yusop berkata, JAIPk tidak akan berkompromi sekiranya terdapat anggotanya terlibat dalam gejala itu dan akan bekerjasama dengan SPRM untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Saarani berkata, JAIPk menjadi jabatan dalam kerajaan negeri pertama mengadakan inisiatif mewujudkan pelan terbabit.

"Tiada sasaran ditetapkan, namun diharapkan bilangan penjawat awam terlibat amalan rasuah ini adalah sifar.

"Bukan sahaja penjawat awam, nasihat untuk diri sendiri juga yang mana kita semua perlu berhati-hati dan mengelakkan diri terlibat dalam sebarang bentuk amalan rasuah," katanya.