Budak tiga tahun lemas dalam kereta

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai ditinggalkan di dalam sebuah kereta di Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati mangsa bersama kakaknya telah dibawa ke sekolah di sekitar Sungai Tiram oleh neneknya yang berusia 59 tahun kira-kira jam 1 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa kemudiannya ditinggalkan di dalam kereta tanpa disedari oleh neneknya dan enjin kereta turut dimatikan.

"Pada hari sama, kira-kira jam 6 petang ibu mangsa menyedari mangsa tiada di dalam rumah dan mencari di sekitar kawasan rumah, namun tidak menjumpai.

Iklan

"Neneknya kemudian menyedari mangsa berada di tempat duduk belakang di dalam kereta dan mendapati dia tidak sedarkan diri," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mohd Sohaimi berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pada Isnin lalu mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan strok haba terperangkap di dalam kenderaan.

Iklan

"Bedah siasat yang dijalankan turut mendapati tubuh badan mangsa adalah sihat dan tiada sebarang kesan lebam atau luka akibat didera.

"Siasatan dijalankan di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak cuai dan sentiasa peka terhadap kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing.