Penguat kuasa disaran guna budi bicara sebelum keluar kompaun

Iklan
Mas Ermieyati

SHAH ALAM - Anggota penguat kuasa disaran menggunakan ‘common sense’ atau budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun yang sesuai berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mereka perlu melihat faktor-faktor penyebab dan situasi semasa yang menyebabkan berlakunya pelanggaran itu.

Iklan
Iklan

"Saya mengharapkan pihak penguat kuasa ketika melaksanakan tugas perlulah memahami sewajarnya undang-undang yang hendak dikuatkuasakan dan impak negatif akan berlaku bagi setiap tindakan yang diambil.

"Untuk kes ini, peniaga burger adalah dikategorikan sebagai penjaja informal dan kompaun sebegini sudah pasti memberi kesan kepada perniagaan dan kehidupannya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas mengenai seorang peniaga burger terkilan apabila dikenakan kompaun RM50,000 kerana kesalahan berniaga lebih masa pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, beliau turut difahamkan bahawa anggota penguat kuasa telah terkhilaf dalam mengeluarkan kesalahan di mana RM50,000 dikeluarkan iaitu kesalahan syarikat yang melanggar SOP berbanding kesalahan individu dengan kompaun maksima RM10,000.

Iklan

Beliau berkata, jika diberi pengurangan kompaun sekalipun, peniaga berkenaan tidak dapat melunaskan jumlah tersebut.

"Apatah lagi jika kompaun maksima RM10,000 dikenakan ke atasnya. Berniaga di kawasan kampung, hendak mendapatkan jualan RM100 sehari pun masih belum tentu.

"Jadi perlu difahami bahawa peniaga burger bukanlah sebuah perusahaan bertaraf syarikat tetapi sekadar usahawan tidak formal yang hanya bertaraf perniagaan individu,” katanya.

Mas Ermieyati berkata, adalah diharapkan agar hasrat kerajaan dalam membantu golongan usahawan tidak formal dalam tempoh pandemik.

Katanya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga mengharapkan pemahaman dan sokongan daripada semua pihak untuk terus kekal bermotivasi.

"Bagi mengekalkan rantaian ekonomi negara tidak terjejas dengan kes-kes seumpama ini yang sudah tentu menjatuhkan motivasi peniaga yang baru sahaja hendak melangkah selepas terjejas hampir dua tahun disebabkan penularan Covid-19,” katanya.