SUBANG JAYA - Polis mematahkan sindiket perjudian dalam talian yang beroperasi hampir tiga bulan di sebuah kawasan di Pinggiran USJ apabila menyerbu tujuh premis pada Rabu.
Premis yang beroperasi berhampiran antara satu sama lain itu dikatakan menjadi tumpuan kaki judi sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, serbuan dijalankan berdasarkan risikan yang dijalankan oleh pihaknya.
Menurutnya, ketika serbuan pihak sindiket telah melarikan diri termasuk memotong bekalan elektrik dan membawa peralatan judi.
"Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa barangan yang mungkin mereka tidak sempat ambil antaranya kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau premis di sekitar Jalan Pinggiran USJ, Subang Jaya pada Rabu.
Katanya, pihaknya akan terus menggempur sebarang aktiviti perjudian dalam talian di Subang Jaya.
"Tidak ada ruang dan peluang bagi mereka menjalankan aktiviti tidak bermoral seperti ini, kita akan gempur habis-habisan agar Subang Jaya bebas daripada sebarang aktiviti perjudian," katanya.