MTUC mahu majikan sediakan kediaman sesuai kepada pekerja asing

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SUBANG JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Sedunia menghantar mesej jelas meminta para majikan di negara ini menyediakan tempat tinggal yang sesuai kepada pekerja asing, yang juga akan membantu mencegah penyebaran Covid-19.

Dalam perutusan khasnya bersempena dengan sambutan itu, pertubuhan itu mengatakan dasar kebangsaan dan langkah-langkah untuk melandaikan lengkuk pandemik memerlukan pertimbangan yang signifikan terhadap masalah yang dihadapi pekerja migran, termasuk memenuhi keperluan asas mereka, menjamin kesejahteraan dan mematuhi piawaian buruh yang tinggi.

Iklan
Iklan

"Isu keadaan hidup yang tidak memuaskan yang disediakan untuk pekerja asing menjadi perhatian MTUC selama ini.

"Kami mendapati majoriti pekerja asing di negara ini tinggal di asrama yang sesak, padat, kabin tapak pembinaan dan bilik-bilik kedai dengan mengabai penjarakan fizikal," kata Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan kepada kira-kira 50 pemimpin kesatuan sekerja yang turut bersama MTUC sempena sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia di Wisma MTUC di sini pada Rabu.

Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia, yang disambut setiap tahun pada 28 April, adalah hari memperingati antarabangsa untuk pekerja yang terbunuh, cacat, cedera atau tidak sihat disebabkan pekerjaan mereka.

Iklan

Dalam satu perkara yang berkaitan, Mohd Effendy menggesa kerajaan agar tidak menangguhkan lagi penguatkuasaan Akta Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja 1990 (Akta 446) untuk memastikan majikan menyediakan persekitaran yang betul dan kondusif kepada pekerja asing, selain menangani perdagangan manusia di industri berintensifkan buruh.

"Kami tidak mahu kerajaan berkompromi dengan hal ini dalam memastikan keadaan tempat tinggal yang sesuai bagi pekerja asing dan kami mendesak kerajaan untuk mempercepat pelaksanaan undang-undang ini," tambahnya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, kerajaan telah bersetuju untuk melonggarkan penguatkuasaan peraturan mengenai piawaian perumahan pekerja hingga akhir tahun ini.

Ini berikutan permintaan majikan agar diberi lebih banyak masa untuk mematuhi syarat di bawah Akta 446 kerana banyak syarikat masih dalam tempoh pemulihan disebabkan pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden MTUC, Matkar Siwang mendesak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk menjalankan siasatan mengenai insiden seorang warga India dipercayai meninggal dunia setelah terhidu sisa kimia semasa membersihkan lori tangki di pusat mencuci kenderaan di Jalan Seri Perkasa 1/1, Taman Tampoi Indah, Johor Baharu pada Isnin.

Jika terdapat unsur kecuaian, DOSH harus memulakan usaha untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah.

Pada majlis itu, 50 pemimpin kesatuan sekerja juga bertafakur selama satu minit sebagai memperingati pekerja yang terkorban semasa dalam tugas. - Bernama