PUTRAJAYA - Kerajaan yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil beberapa langkah segera bagi memastikannya perlaksanaan pengundi 18 tahun dapat direalisasikan bagi memberi peluang kepada golongan terbabit menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.
Takiyuddin berkata, hal itu telah dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 28 April 2021 dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
"Susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan.
"Adalah jelas melalui ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mahupun dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan normal baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini.
Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.
Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.
Pada 3 November tahun lalu, Takiyuddin dilaporkan berkata, kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
Melalui kelulusan tersebut, pilihan raya akan datang akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik.
Bagaimanapun pada 10 Mac lalu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kelayakan mengundi pada PRU di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai itu tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Rais dipetik sebagai berkata, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Undi 18: Pas beri jaminan sokongan dua pertiga