PENGENDALI Paris Saint Germain (PSG), Mauricio Pochettino yakin pasukan kendaliannya itu mampu bangkit selepas tewas kepada Manchester City 1-2 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Parc Des Princes awal pagi Khamis.
Menurutnya, pasukan kendaliannya itu telah menewaskan Barcelona dan Bayern Munich di gelanggang lawan dan tidak mustahil untuk melakar kebangkitan pada perlawanan timbal balik di Manchester minggu depan.
PSG tewas di laman sendiri ketika menentang Barcelona dan Munich namun berjaya melakar kemenangan di tempat lawan dengan kemenangan 4-1 di Camp Nou dalam aksi 16 pasukan terbaik dan menundukkan Bayern 3-2 pada suku akhir di Munich.
"Kami yakin dapat bangkit di Manchester dan kami telah buktikan dengan mencatatkan kemenangan di laman lawan ketika menentang Barcelona dan Munich musim ini.
"Saya tidak menolak ia perlawanan yang sukar tetapi keyakinan saya tinggi bahawa kami boleh melakukan sesuatu di sana. Informasi yang kami dapat di sini sangat penting untuk kami bermain lebih baik pada perlawanan timbal balik itu nanti," katanya.
Dalam perlawanan itu, PSG bermula garang mendahului pada minit ke-15 menerusi Marquinhos, namun City melakukan kebangkitkan menerusi gol Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez.
Mengulas lanjut, Pochettino menyifatkan perlawanan menentang City tersebut sebagai tuah yang tidak memihak pasukannya apatah lagi PSG bermain baik pada separuh masa pertama.
"Sudah tentu kami bermain baik pada separuh masa pertama hari ini, namun saya merasakan sudah tentu ada yang tidak kena dalam persembahan pasukan. Ia sesuatu yang biasa dalam bola sepak dan kami perlu menerima keputusan ini. Sekarang ini kami perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya," katanya.