KUANTAN - Pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan industri di negara ini memerlukan lebih banyak tenaga pakar yang berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, bagi tujuan itu, UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurutnya, ia sekali gus menjadi peneraju Program Latihan kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak 2017.
"Program ini membabitkan program latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional serta latihan industri.
"Selain itu penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan juga menyokong kepada agenda kebolehpasaran khususnya graduan institusi pendidikan tinggi (IPT),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, Wan Azhar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr Mohd. Rosli Hainin hadir menandatangani memorandum perjanjian (MoA) mewakili UMP dan pihak Universiti Beijing Jiatong (BJTU) di China diwakili oleh Presiden BJTU, Profesor Dr. Wang Jiaqiong dan Timbalan Presiden (Antarabangsa), Profesor Dr. Guan Zhongliang yang hadir secara dalam talian di Hotel Zenith Putrajaya pada Khamis.
Turut menyaksikannya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Seri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Seri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.
Beliau berkata, perjanjian itu membabitkan Program Dual Ijazah antara UMP dengan BJTU di China berkaitan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal.
Jelasnya, bidang-bidang sebegini akan menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara.
Wan Azhar yakin dengan kepakaran dan pengalaman UMP dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam bidang teknikal itu secara tidak langsung boleh menyumbang kepada kelancaran dan kebolehcapaian matlamat bagi merealisasikan program tersebut.
"Program dual Ijazah ini akan membuka lembaran sejarah di antara UMP dan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik selain membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan serta pembangunan akademik bagi kedua-dua universiti,” ujarnya.