WASHINGTON - Angkasawan Amerika Syarikat (AS), Michael Collins yang menjadi jurupandu modul angkasa lepas Appolo II bersama dua lagi angkasawan terkenal AS pada tahun 1969 meninggal dunia pada Rabu selepas bertarung dengan penyakit kanser, kata keluarganya.
Collins pernah digelar sebagai lelaki paling kesunyian dalam sejarah kerana dua angkasawan yang juga rakannya itu, Neil Armstrong dan Buzz Aldrin keluar dari modul tersebut dan berjalan di bulan sekali gus menjadi terkenal di seluruh dunia.
Bagaimanapun, beliau tidak pernah mengecapi kemasyhuran seperti yang dinikmati oleh dua rakannya itu.
"Mike (Collins) berdepan dengan cabaran hidup dengan sifat baik, rendah hati dan menghadapi cabaran terakhirnya dengan cara yang sama," kata keluarga Collins dalam ciapan di laman Twitter seperti dilaporkan AFP.
Rakannya, Aldrin turut menyampaikan ucapan penghormatan terhadapnya di Twitter dengan menciap:"Mike yang dikasihi. Di mana sahaja anda berada dan akan berada, anda selalu mempunyai harapan untuk membawa kami ke puncak baharu dan masa depan. Kami akan merindui anda."
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, ketika Collins mungkin tidak menerima kemasyhuran yang sepatutnya tetapi beliau merupakan seorang rakan yang setaraf dan mengingatkan warga AS betapa pentingnya kerjasama dalam perkhidmatan bagi mencapai sasaran yang hebat.
Collins yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-91 tahun pada 31 Oktober ini dan dilahirkan di Rom, Itali ketika bapanya berkhidmat sebagai atase tentera AS.
Beliau pernah menjadi juruterbang jet tempur dan penguji pesawat bersama Tentera Udara Amerika.
Beliau memohon untuk menjadi angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) selepas melihat kejayaan angkasawan AS, John Glenn menjadi warga Amerika pertama mengelilingi bumi dan dipilih menjadi angkasawan AS pada tahun 1963.
Beliau menolak tawaran untuk mengetuai satu misi ke bulan sebaliknya berkhidmat sebagai diplomat dengan menjadi Penolong Setiausaha Hal Ehwal Awam AS sebelum memegang jawatan pengarah pertama Muzium Angkasa dan Udara Kebangsaan di Washington serta menulis sejumlah buku mengenai angkasa lepas termasuk buku riwayat hidupnya iaitu Carrying The Fire.
Collins tinggal di Florida selepas bersara bersama isterinya yang meninggal dunia pada tahun 2014. - Agensi