KUALA LUMPUR - Bersempena Nuzul al-Quran 1442 Hijrah pada Khamis, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak umat Islam meluangkan lebih banyak masa membaca dan memahami inti pati al-Quran yang antara lain menyarankan amal soleh.
Perdana Menteri dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasmi beliau turut mengajak umat Islam bersama-sama menghayati hikmah yang terkandung dalam peristiwa itu dan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.
Iklan
Iklan
"al-Quran adalah mukjizat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk menjadi ikutan kepada umat Islam. al-Quran merupakan sumber ilmu, hidayah serta panduan untuk kita menjalani kehidupan di dunia.
"Membaca, mengamal dan menyebarkan kandungan al-Quran untuk manfaat manusia adalah tanda kita mencintai al-Quran," katanya.
Tarikh 17 Ramadan adalah hari Nuzul al-Quran, iaitu hari memperingati peristiwa kitab suci bagi umat Islam diturunkan kepada umat manusia.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengambil kesempatan mendoakan semoga umat Islam di negara ini khasnya dan di seluruh dunia dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. - Bernama