'Jangan terburu-buru pecat Arteta'

Iklan
Mikel Arteta

BEKAS pengendali Arsenal, Unai Emery mengharapkan The Gunners tidak terburu-buru untuk memecat Mikel Arteta selepas persembahan kurang konsisten dipamerkan pasukan itu musim ini.

Menurutnya, kelab utara London itu perlu memberikan masa kepada Arteta yang perlu melakukan banyak kerja untuk memperbaiki pasukan selepas mengambil alih jawatan tersebut pada Disember 2019.

Iklan
Iklan

"Ada beberapa proses yang harus mereka lalui. Saya dulu datang ke sana setelah era Arsene Wenger dan kami kalah di final Liga Europa ketika menentang Chelsea. Pada musim berikutnya kami bermula dengan persembahan hambar.

"Ia sesuatu yang perlu diperbaiki oleh pasukan dan Arteta perlu berada di tempatnya itu untuk menyudahkan apa yang telah dilakukan. Ia memerlukan waktu sebelum sesuatu yang baik akan berlaku.

Iklan

"Saya yakin Arsenal perlu membiarkan pengurus mereka bekerja dan bersabar. saya dapat lihat daripada segi cara kerja Arteta. Jika dia diberikan masa, saya yakin dia akan berjaya. Arteta adalah pengurus luar biasa," katanya.

Persembahan kurang konsisten Arsenal musim ini membuatkan nasib Arteta berada dalam bahaya dengan kemungkinan dipecat pada penghujung musim ini.

Iklan

The Gunners ketika ini berada di kedudukan kesepuluh Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya 46 mata-antara rekod terburuk kelab tersebut selain gagal memenangi sebarang piala setakat ini.

Harapan Arsenal untuk memenangi piala musim ini hanya bergantung kepada saingan Liga Europa dengan pasukan tersebut masih berada di peringkat separuh akhir dan perlu menentang Villarreal yang kini dilatih Emery.