Harga keluli antarabangsa mungkin kekal sehingga suku ketiga 2021

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

LEADER Steel Holdings Bhd (LSH) mengunjurkan aliran meningkat yang dialami harga keluli antarabangsa akan terus kekal sehingga suku ketiga 2021.

LSH menjelaskan, aliran harga keluli itu didorong oleh beberapa faktor iaitu tempoh lebih panjang bagi permulaan hingga penyelesaian proses pengeluaran berikutan gangguan logistik dan penyambungan semula kapasiti, prestasi inventori yang rendah dan permintaan lebih tinggi dari pasaran automotif di Amerika Syarikat dan Eropah.

Iklan
Iklan

Malaysia menghadapi kekurangan bekalan keluli kerana kelembapan aktiviti pembinaan dan harga, menurutnya dalam Laporan Tahunan 2020 - Rangka Kerja syarikat.

Pada masa ini, peserta hiliran tempatan mengambil langkah berhati-hati dalam pembelian susulan harga antarabangsa semasa yang tinggi di samping ketidaktentuan bekalan dan pemulihan ekonomi.

Iklan

"Kami memantau faktor makro yang mungkin menjejaskan harga keluli pada tahun kewangan 2021 terutama dasar keluli China dan pelan rangsangan ekonomi pascapandemik di peringkat global dan tempatan,” jelasnya.

Pengerusi, Tan Sri Mohd Desa Pachi berkata, dalam melangkah maju, LSH akan terus menumpukan strategi dan keutamaan bagi memperkukuh kedudukan syarikat menerusi pempelbagaian, selain daripada industri pembinaan.

Iklan

"LSH optimis dan akan terus berhati-hati terhadap sebarang perubahan atau perkembangan dalam pasaran keluli domestik dan antarabangsa bagi mencapai prestasi tahun kewangan 2021 yang positif,” katanya.

Pada tahun kewangan 2020, perolehan keseluruhan LSH merosot 26.71 peratus kepada RM217.9 juta, terutama disebabkan oleh impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dari Mac hingga Mei 2020 selain gangguan berkaitan pandemik ke atas rantaian bekalan pada bulan-bulan berikutnya.

Segmen produk keluli menyumbang 71.7 peratus kepada perolehan keseluruhan LSH pada tahun kewangan 2020 manakala segmen mineral menyumbang 28.3 peratus. - Bernama