DUBAI - Komuniti ekspatriat India yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sanggup menyewa jet-jet peribadi untuk membawa keluarga mereka yang sebelum ini ditinggalkan di tanah air ke UAE.
Ini adalah kerana keadaan di India yang kini dilanda dengan gelombang kedua Covid-19 apabila pada Rabu lalu lebih 360,000 jangkitan baharu berlaku dan 3,292 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam buat pertama kalinya.
Ekoran berlakunya gelombang kedua itu, kira-kira 300 penerbangan komersial yang pada kebiasaannya beroperasi setiap minggu di negara tersebut tidak dibenarkan terbang buat sementara waktu.
Menurut AFP pada Khamis, terdapat kira-kira 3.5 juta penduduk India yang tinggal di UAE.
Bimbang larangan penerbangan komersial antara India dengan UAE berkuatkuasa bagi tempoh yang lama, para ekspatriat itu sanggup menyewa jet-jet peribadi yang sebelum ini dibenarkan beroperasi semasa gelombang pertama Covid-19 berlaku di India pada tahun lalu.
Seorang ahli perniagaan India yang tinggal di Dubai, T. Patel sanggup menyewa sebuah pesawat peribadi bagi membawa keluarganya dan seorang anak saudaranya dari tanah airnya ke Dubai.
"Saya menunggu selama dua bulan dan akhirnya berjaya menyewa sebuah jet peribadi pada harga AS$42,000 (RM172,305). Kos sewaan itu dikongsi bersama beberapa penduduk lain," katanya kepada AFP.
Kos untuk sebuah jet peribadi yang mempunyai 13 tempat duduk dan terbang dari Mumbai ke Dubai adalah antara AS$35,000 (RM143,587) dan AS$38,000 (RM155,895) iaitu 35 kali ganda daripada harga biasa.
Jarak penerbangan udara dari Mumbai ke Dubai ialah 1,924 kilometer, namun berikutan permintaan tinggi, para pengendali jet peribadi tersebut terpaksa mendapatkan penjelasan tentang pendaratan jet-jet itu di UAE.
"Jet-jet yang disewa perlu mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan Kementerian Luar untuk beroperasi. Namun, kami tidak mengetahui siapa yang diberikan pengecualian untuk terbang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Sewaan Jet Peribadi Enthral seperti dilaporkan AFP.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam sebelum ini berkata, warga UAE, diplomat, delegasi rasmi dan pesawat perniagaan dikecualikan daripada larangan terbang tetapi para penumpang perlu menjalani kuarantin selama 10 hari.
Seorang penduduk India yang telah lama tinggal di Dubai, Purushothaman Nair berkata, beliau bersedia untuk membayar sebarang harga untuk membolehkan beliau dan isterinya kembali ke UAE.
"Isteri saya dan saya datang ke India untuk selama 10 hari. Kami sanggup kembali ke Dubai tidak kira berapa kosnya," katanya kepada AFP. - Agensi