MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan merampas tiga set bubu naga dianggarkan bernilai RM300 di sekitar perairan Klebang, di sini pada Rabu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, rampasan itu dilakukan susulan aduan orang awam mengenai penggunaan bubu naga oleh segelintir nelayan negeri ini.
Menurutnya, operasi mengesan bubu berkenaan dilakukan sekitar jam 2 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia sebelum menemui botol-botol air mineral yang terapung di permukaan air dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati botol air mineral itu merupakan penanda kepada lokasi pemasangan bubu naga.
"Berikutan itu, pasukan ronda telah mengesan dan menemui bubu naga di tiga lokasi berasingan sekitar kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Sungai Lereh, Klebang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Jelas beliau, penggunaan bubu naga adalah tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia sejak November 2018 kerana perairan Malaysia akan mengalami masalah kekurangan hasil laut disebabkan benih dan ikan kecil terperangkap di dalam bubu naga yang dipasang secara haram.
"Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan dan pihak kita hanya menjumpai bubu itu sahaja," katanya.