IPOH - Semua program rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad sehingga 3 Mei depan dibatalkan susulan dikuarantin selama 11 hari yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata, selepas dikesan sebagai kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19, Saarani sedang menjalani kuarantin kendiri di kediaman rasmi Menteri Besar Perak.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga, Saarani melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 pada jam 2.30 petang Khamis dan keputusannya dijangka diketahui Jumaat (esok).
"Beliau dijangka kembali memulakan tugas pada 4 Mei, tertakhluk kepada nasihat pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Perkembangan ini tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri memandangkan Menteri Besar akan bekerja dari rumah dan bersedia mempengerusikan mesyuarat secara sidang video jika perlu," katanya dalam kenyataan akhbar kepada media pada Khamis.
Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, surat perintah pengawasan telah diberikan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 11 hari iaitu dari tarikh kontak rapat berlaku dan dipakaikan gelang pengawasan.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan menjadi antara kontak rapat dengan individu berkenaan ketika menghadiri satu program di Lenggong, Perak pada 23 April lalu.