MASA semakin suntuk buat pemain badminton beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung dalam tempoh tidak sampai tiga bulan lagi.
Peluang mereka ke temasya sukan terbesar dunia itu semakin tipis selepas Terbuka India 2021 yang dijadualkan dari 11 hingga 16 Mei ini di New Delhi, iaitu antara beberapa kejohanan terakhir bagi mengutip mata kelayakan ke Olimpik Tokyo turut ditunda disebabkan peningkatan kes Covid-19.
Begitupun, pasangan beregu tersebut kekal optimis dengan sasaran mereka kini terarah kepada Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura dalam misi menempah slot ke Tokyo.
"Kami tidak ada pilihan dan perlu mengumpul mata sebanyak mungkin dalam kedua-dua Terbuka Malaysia dan Singapura. Untuk layak ke Olimpik Tokyo, paling tidak kami perlu menang hingga ke separuh akhir, kalaupun tidak ke final,” kata Shevon.
Terbuka Malaysia dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 30 Mei manakala Terbuka Singapura pula akan diadakan mulai 1 hingga 6 Jun.
Ranking terkini menunjukkan pasangan ke-12 dunia itu mengumpul 61,822 mata sementara gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang berkedudukan ketujuh dunia mengumpul 70,420 mata dan satu lagi pasangan negara, Tan Kian Meng-Lai Jei Ping di ranking ke-11 meraih 62,770 mata.
Setiap negara dibenarkan menghantar dua wakil ke Olimpik jika mereka berada dalam kelompok lapan teratas selepas tamat pusingan kelayakan.
Ditanya mengenai langkah seterusnya jika mereka gagal ke Olimpik Tokyo, Soon Huat, 31, berkata, mereka akan meneruskan perjalanan dengan sasaran Sukan Olimpik seterusnya di Paris, tiga tahun lagi.
"Kami tidak akan menyesal jika kami tidak dapat ke Tokyo kerana kami tahu kami telah berikan yang terbaik. Jika gagal, kami akan berusaha untuk ke Paris pula pada 2024,” katanya.
Shevon, 28, yang turut senada, percaya jika mereka dapat mengekalkan momentum dan menerima dana mencukupi, peluang mereka untuk layak ke Olimpik Paris 2024 adalah lebih cerah.
Temasya Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan. - Bernama