HULU SELANGOR - Penduduk di sekitar Kalumpang dikejutkan dengan kejadian ribut yang berlaku pada petang Khamis sehingga menyebabkan beberapa batang pokok tumbang.
Selain itu, bumbung beberapa buah rumah penduduk terjejas berikutan diterbangkan angin kencang dan dihempap pokok dalam kejadian itu.
Guru dan Setiausaha Pondok Bustanul Asyrafiah, Shafezam Shafie berkata, sewaktu kejadian itu, dia berada di dalam pusat pengajian tersebut sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat di luar sekitar jam 2 petang.
"Apabila saya keluar, saya dapati banyak pokok tumbang dan menghalang beberapa laluan.
"Malah, ada bumbung rumah penduduk turut diterbangkan angin ribut tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Shafezam berkata, kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku sekitar 30 minit itu turut menyebabkan sekolah berkenaan terjejas serta dinaiki air.
Dia berkata, malah laluan masuk ke sekolah terbabit turut terhalang disebabkan oleh pokok tumbang.
"Sistem perparitan di sekolah ini tidak sempurna dan disebabkan itulah air memasuki ruang sekolah ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Kamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.44 petang dan susulan itu, jentera penyelamat bergegas ke lokasi terlibat.
Beliau berkata, sejurus tiba, anggota penyelamat melakukan kerja-kerja pemotongan pokok berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.
"Selepas itu, pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengambil alih dan melakukan kerja-kerja pembersihan pokok-pokok tumbang berkenaan," katanya.