Pinjaman dwi-generasi bukan untuk kepentingan pemaju

Iklan
Vincent Tan

KUALA LUMPUR - Kerajaan terus digesa agar memberi jaminan pembayaran semula pinjaman dari institusi kewangan kepada peminjam kategori B40 untuk pembelian rumah mampu milik.

Ia seiring dengan cadangan pinjaman pembiayaan pembelian rumah dwi-generasi yang dikemukakan Better Malaysia Foundation (BMF).

Iklan
Iklan

Pengasas BMF, Tan Sri Vincent Tan berkata, cadangan tempoh bayaran sehingga 60 tahun dengan kadar faedah tahunan sebanyak 3 peratus adalah demi membantu golongan B40 yang hanya menyewa rumah sejak sekian lama memiliki kediaman sendiri.

Justeru menurutnya, dakwaan bahawa cadangan tersebut adalah untuk membantu pemaju menjual rumah adalah tidak benar sama sekali.

Iklan

"Kita tahu ramai yang memohon untuk beli rumah mampu milik tetapi bank tidak luluskan. Bagaimana yang dikatakan (cadangan pinjaman dwi-generasi) ini untuk kepentingan pemaju?

"Pemaju di Malaysia tidak perlu bantuan seperti ini, kerana kalau boleh, mereka tidak mahu bina pun rumah mampu milik.

Iklan

"Jadi (cadangan ini) bukan tentang kepentingan pemaju tetapi penting untuk menolong rakyat miskin, B40 supaya mereka mampu memiliki sebuah rumah,” katanya kepada pemberita, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa cadangan supaya institusi kewangan menawarkan pinjaman perumahan dwi-generasi adalah gimik untuk membantu pemaju menjual rumah.

Mengulas lanjut, Vincent berpendapat, pemaju-pemaju swasta boleh membina lebih banyak kediaman mampu milik sekiranya kerajaan dapat menjamin penyelesaian berhubung pembiayaan pinjaman pembelian rumah.

"Kita memang perlukan pemaju swasta untuk membina kediaman mampu milik kerana kerajaan memerlukan tempoh masa yang panjang untuk membina kediaman mampu milik dengan banyak.

"Jadi jika perkara ini dipertimbangkan, lebih ramai rakyat dapat memiliki kediaman mereka sendiri,” katanya.

BMF sebelum ini melancarkan program usaha sosial baharu untuk membantu kerajaan menangani aspirasi pemilikan rumah dalam kalangan rakyat kategori B40 bagi memudahkan pembinaan hartanah dengan kos pemilikan bulanan yang rendah.

Oleh itu, BMF dengan kerjasama Berjaya Land Bhd telah mereka bentuk satu unit pangsapuri contoh bersaiz 900 kaki persegi dengan lima bilik dan empat bilik mandi untuk inisiatif tersebut.

Antara lain yang dicadangkan adalah pemberian 100 peratus pinjaman untuk dua generasi sehingga 60 tahun agar pembayaran balik pinjaman mampu diuruskan oleh pembeli.