KOTA BHARU - Timbalan Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau yang juga ADUN Melor, Dr Md Yusnan Yusoff meninggal dunia di kediamannya di sini, awal pagi tadi.
Perkara tersebut dikongsi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dilaman sosial Facebook rasminya, awal pagi tadi.
Md Yusnan yang berasal dari Ketereh dilahirkan pada 1 Julai 1968 dan dipercayai mengalami serangan jantung di kediamannya pagi tadi.
Menurut Ahmad, semenjak dilantik sebagai timbalan Exco pada tahun 2013, arwah sentiasa berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak Enakmen-enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Bekas pembantu Professor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Morocco sebelum dilantik sebagai ADUN Melor sejak tahun 2013.
"Saya mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," katanya.
Biodata ADUN Melor