PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengumumkan rakyat negara itu yang telah menerima dos penuh vaksin Covid-19 tidak lagi perlu memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.
Pengumuman CDC itu dibuat ketika AS masih lagi berada di senarai teratas negara paling terjejas teruk akibat Covid-19 di seluruh dunia.
Berdasarkan data terkini Covid-19 daripada John Hopkins University, AS merekodkan lebih 32 juta kes jangkitan termasuk 574,330 kematian.
Justeru, saranan CDC itu dianggap tindakan paling berani memandangkan pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara lain menyarankan individu yang telah divaksin perlu kekal memakai pelitup muka selain mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan.
Tidak dipastikan sama ada saranan CDC itu dibuat selepas AS mencapai sasaran imuniti berkelompok.
Apa pun, menurut garis panduan terbaharu yang dikeluarkan CDC, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan jika individu berseorangan atau berada dalam kelompok kecil mereka yang turut sudah divaksin.
Pun begitu, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di tempat tertutup atau sesak − peraturan yang kerap kali gagal dipatuhi oleh rakyat negara Uncle Sam itu sejak permulaan pandemik pada penghujung tahun lalu.
Setakat ini, lebih 95 juta orang rakyat AS telah menerima suntikan vaksin.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kekeliruan, rasa puas hati dan tidak konsisten dalam mengamalkan langkah-langkah kesihatan menyebabkan peningkatan kes Covid-19 seperti yang kini berlaku di India.
Serentak itu, ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran jika perkara itu berterusan, ini bermakna pandemik Covid-19 masih jauh untuk ditamatkan.
Semoga rakyat AS tidak keliru dengan saranan CDC ini dan tidak menjadi punca kepada peningkatan semula kes Covid-19.