ROMPIN - Mayat dua beradik yang terjatuh ke dalam Sungai Rekoh di sini pada Rabu sudah ditemui pada malam Khamis dan pagi Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Mohd Isa Bidin berkata, mayat Dhenis Maulida Putri Masari, 7, ditemui kira-kira 100 meter dari tempat kejadian oleh penduduk Kampung pada jam 8 malam Khamis.
Beliau berkata, mayat adiknya, Putri Rama Dhania Azahra, 3, pula ditemui pada jam 7.30 pagi Jumaat.
"Mayat kedua mangsa ditemui kira-kira 150 meter daripada lokasi kejadian selepas timbul pada permukaan air.
"Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah di sini untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 30 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kejadian pada Rabu, dua beradik berkenaan terjatuh ke dalam sungai selepas motosikal ditunggangi ibu mereka terbalik ketika melalui jambatan gantung di lokasi berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik jatuh jambatan gantung ketika naik motosikal bersama ibu