Kutipan sisa domestik di Pahang turun 10 peratus

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Sharudin Hamid

KUANTAN - Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang merekodkan penurunan kutipan sisa domestik sebanyak 10 peratus menjelang penghujung Ramadan ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, pihaknya memungut sebanyak 1,200 tan sisa domestik sehari di seluruh Pahang pada tahun ini berbanding 1,560 tan pada tahun lalu.

Beliau berkata, angka tersebut menurun hasil disebabkan aktiviti jual beli di bazar Ramadan dihadkan oleh kerajaan negeri Pahang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Iklan

"Biasanya, kita menjangkakan sisa domestik ini akan meningkat antara 20 hingga 30 peratus setiap kali musim perayaan.

"Namun, pada tahun ini kita dapati penjanaan sampah berlaku penurunan sebanyak 10 peratus dan pihak kita terkejut dengan data baharu itu," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama media anjuran Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn Bhd di Hotel Zenith pada malam Khamis.

Iklan

Sharudin berkata, pengurangan itu berlaku juga mungkin disebabkan kempen yang telah digerakkan pihaknya di semua bazar di seluruh Pahang.

Selain itu, katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di setiap bazar Ramadan juga menjadi faktor kepada penurunan penjanaan sisa domestik itu.

"Kalau dahulu 100 peniaga akan menjalankan urus niaga di bazar tetapi kini hanya sekitar 50 peniaga sahaja. Jadi ini juga penyebab kurangnya sisa sampah di bazar dibuang.

"Malah, sikap masyarakat yang semakin bijak dengan membeli mengikut dengan keperluan juga menyumbang kepada pengurangan penjanaan sampah," ujarnya.

Dalam pada itu, Sharudin berkata, pihaknya telah mengeluarkan syarat supaya penganjur bazar melantik kontraktor yang dilesenkan sahaja bagi menjalankan kerja-kerja kutipan sisa domestik di bazar Ramadan.

Katanya, ini bagi memudahkan pihaknya menjalankan pemantauan berkaitan penjanaan sisa domestik dari semasa ke semasa di bazar-bazar Ramadan di seluruh Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Pahang buang 1,200 tan sisa sampah sehari