PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui audio yang tular di laman sosial berhubung pelantikan ketua polis negeri adalah dirinya.
Menurutnya, ia merupakan perbualannya dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador pada tahun lalu.
"Tidak ada mirip-mirip, saya mengaku itu saya," katanya pada sidang akhbar sempena majlis penyerahan pelantikan KPN baharu, di kementeriannya di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, perbualan tersebut tidak menyalahi undang-undang berdasarkan kedudukannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang menentukan tugas-tugas polis.
"Saya hanya meminta supaya KPN memberi nama kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), salah ke?" soalnya.
Ditanya adakah beliau akan membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman audio tersebut, Hamzah memaklumkan tidak perlu berbuat demikian.
"Tidak perlu kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Pokoknya adalah saya memberitahu seseorang yang penting, tidak salah untuk saya beritahu beliau dan kita buat perkara yang betul," katanya.
Bagaimanapun beliau ingin tahu siapa dalang yang mengintip perbualan tersebut.
"Saya Menteri Dalam Negeri, jadi saya boleh lakukan dengan beberapa cara yang lain.
"Siapa yang rakam itu yang kita nak tahu dahulu," katanya.
Minggu ini tular di laman sosial rakaman audio yang mendakwa Hamzah mengatur kedudukan jawatan polis dalam PDRM.
Ia sekali gus mengundang gesaan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu siasatan segera berhubung perkara itu.
Bagai memulangkan paku buah keras, Hamzah berkata, pengakuannya terhadap rakaman audio itu tidak seperti pihak tertentu yang menafikan penglibatan.
"Tidak ada mirip-mirip, yang saya hairan adalah audio yang mereka bercakap di antara satu sama lain tidak pula mengaku.
"Saya mengaku, yang kawan-kawan kita tidak mengaku," katanya.