JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menyelamatkan seekor tapir betina seberat 300 kilogram (kg) selepas haiwan itu memasuki perangkap yang dipasang di Felda Tenggaroh 5, Mersing pada Rabu.
Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, perangkap itu dipasang pada 17 Februari lalu selepas pihaknya menerima aduan orang ramai yang melihat tapir tersebut berkeliaran di kawasan penempatan berkenaan.
"Kira-kira jam 8.30 pagi, Perhilitan Johor menerima aduan berkenaan seekor tapir telah masuk perangkap. Seterusnya operasi menyelamat dijalankan oleh 12 orang kakitangan daripada Perhilitan daerah Mersing, Pusat Konservasi Hidupan Liar Jemaluang dan Santuari Gajah Johor.
"Kerja-kerja memindahkan tapir dari dalam perangkap ke dalam kotak pemindah bermula pada jam 9.30 pagi dan selesai 20 minit kemudian," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Salman, tapir tersebut kemudian dibawa ke Pejabat Perhilitan Mersing untuk diberikan rawatan oleh doktor veterinar jabatan.
Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati tapir tersebut sihat dan hanya mengalami luka-luka kesan melecet di bahagian kulit kepala yang tidak serius serta boleh dilepaskan ke habitat liar baharu.
"Seterusnya operasi pemindahan tapir dilakukan ke Taman Negara Endau Rompin pada hari sama bermula jam 9 malam dan selesai sepenuhnya pada jam 4 pagi Khamis.
"Untuk rekod, sebanyak dua ekor tapir telah mati dilanggar kenderaan di Johor pada tahun ini," katanya.