MUMBAI - Penggali kubur di Mumbai, India menyaksikan kesan buruk daripada gelombang kedua Covid-19 apabila bekerja 24 jam tanpa henti.
Salah seorang daripada mereka, Sayyed Munir Kamruddin, 52, mengaku bekerja tanpa henti untuk mengebumikan mayat selepas negara melaporkan 3,645 kematian dalam tempoh 24 jam pada Khamis iaitu lonjakan kes jangkitan kematian luar biasa akibat pandemik tersebut, lapor Reuters.
"Setiap hari pasti ada mayat yang perlu disempurnakan dalam jumlah yang banyak sehingga kami tiada rehat.
"Sejujurnya dengan berbekalkan keberanian, saya tidak takut dengan Covid-19, malah ini merupakan tugas hakiki kami mengeluarkan mayat dari ambulans dan sempurnakannya," katanya.
Ujarnya, beban kerja penggali kubur semakin bertambah selepas kematian akibat wabak mendadak sejak kebelakangan ini hinggakan dia tidak lagi memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan sarung tangan sejak tiga bulan lalu.
Kejadian serupa berlaku di krematorium New Delhi yang memerlukan penggali kubur mengebumikan 600 mayat setiap hari.
Menerusi laporan AFP, Mohammed Shamim, 38, memberitahu sudah menggali kubur untuk 115 mayat di tanah perkuburan Jadid Qabristan Ahle iaitu perkuburan Muslim terbesar di ibu negara India.
Bapa kepada empat anak ini berkata, dia telah menjadi penggali kubur sejak remaja lagi dan tidak menyangka jumlah korban Covid-19 meningkat saban hari.
"Di sini ruang sudah terhad malah terdapat anggota keluarga yang datang menempah ruang kubur ketika mangsa sedang nazak di hospital.
"Saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini," katanya yang terpaksa tidur di sebuah pondok berhampiran tanah perkuburan bagi mengelakkan keluarganya dijangkiti wabak terbabit.
Katanya, paling menyentuh hati apabila melihat ahli keluarga sekadar melihat dari jauh ketika upacara pengebumian dilakukan.
"Semua orang ingin melihat insan tersayang buat kali terakhir. Saya harus bertindak kejam dan tidak membiarkan mereka melihat jenazah.
"Walaupun terdengar suara-suara 'nakal' dan kata-kata menyakitkan hati, saya hanya mampu berdiam diri kerana memahami situasi itu," katanya.
Sementara itu, seorang koordinator pembakaran mayat, Jitender Singh Shanty pula memberitahu, ketibaan mayat tidak putus-putus.
"Setiap hari lebih ramai yang mati akibat Covid-19 ini dan jika ini berterusan, kita terpaksa membakar mayat di atas jalan kerana sudah tiada tempat lagi.
"Saya tidak pernah menjangkakan kita akan berdepan dengan malapetaka sebegini besar," katanya yang secara purata menguruskan pembakaran 100 mayat sehari.
Keadaan sama berlaku di negeri bahagian barat Gujarat apabila banyak pusat pembakaran mayat di Surat, Rajkot, Jamnagar dan Ahmedabad beroperasi tanpa henti dengan menerima tiga hingga empat kali ganda mayat untuk diuruskan berbanding biasa.
India pada Khamis merekodkan kes jangkitan Covid-19 melepasi angka 18 juta selepas mencatatkan hampir 380,000 kes baharu sekali gus memecahkan rekod baharu global.
Rekod kematian pula mencatatkan 204,832 orang selepas 3,645 kematian dalam tempoh 24 jam menyaksikan lonjakan kes jangkitan kematian luar biasa dan menghampiri rekod kematian Mexico yang ketika ini pada tangga ketiga dunia iaitu 216,447 pada Jumaat.