11 pelajar SM Imtiaz positif Covid-19

Iklan
Kakitangan JKNT melakukan saringan bersasar bagi mengesan kes positif Covid-19 di SM Imtiaz, Setiu. - Foto Facebook Dr Nor Azimi Yunus

KUALA TERENGGANU – Seorang guru dan 11 pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz di Saujana, Setiu telah dikesan positif Covid-19, demikian kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Menurut beliau, perkembangan itu menyebabkan sekolah tersebut ditutup selama 14 hari bermula 28 April hingga 11 Mei nanti bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan.

Iklan
Iklan

Dr Nor Azimi berkata, selain penutupan sekolah, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) turut melakukan saringan bersasar di sekolah berkenaan bagi mengesan kes-kes positif Covid-19 lain di sana.

"Saringan dibuat untuk mengesan kes-kes positif di sekolah ini. Mereka akan diasingkan dan diberi rawatan, dengan cara begini rantaian boleh diputuskan lebih cepat,” katanya pada hantaran di laman Facebooknya, pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi tidak menolak kemungkinan jangkitan Covid-19 di sekolah atau institusi pendidikan datang dari komuniti sama ada oleh pelajar, guru atau kakitangan sokongan di sana.

Katanya, secara amnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah khususnya sekolah rendah agak sukar berikutan murid-murid yang masih kecil selain pergaulan mereka tidak terbatas.

Iklan

"Situasi sama turut berlaku di asrama sekolah terutama asrama yang mempunyai jumlah pelajar ramai dan sesak.

"Pelajar pun sangat akrab di asrama. Makan sepinggang tidur sekatil itu biasa. Seketul ayam dikongsi ramai pelajar pun biasa, tambahan pula di bulan puasa ini,” katanya.

Begitupun, Dr Nor Azimi berkata, pihak sekolah dan institusi pendidikan boleh mengamalkan beberapa langkah bagi mencegah jangkitan atau penularan lebih besar di tempat masing-masing.

Katanya, langkah paling utama perlu diamalkan adalah memastikan guru, pelajar dan kakitangan sokongan yang bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 tidak hadir ke sekolah.

"Pastikan ada pematuhan SOP bila ada program libatkan ramai pelajar dan semua pakai pelitup muka serta penjarakan fizikal sepanjang program. Sepatutnya semua warga sekolah kena pakai pelitup muka sepanjang berada di sekolah, ini kan normal baharu.

"Jika guru tidak selesa pakai pelitup muka ketika mengajar, boleh pakai face shield. Ia boleh mengelak titisan air liur terkena pelajar atau permukaan dalam kelas. Kita faham guru kena bersuara kuat supaya pelajar boleh dengar.

"Guru pun kena jaga jarak dengan pelajar. Ada guru menjangkiti pelajar masa kelas Tasmik, bukan seorang. Lagipun guru bukan mengajar satu kelas, ada yang pegang enam kelas. Ini juga faktor penularan boleh berlaku dengan cepat kepada beberapa kelas,” katanya.