10,000 penduduk bakal terima baucer daging raya

Iklan
Wan Romani (dua dari kiri) menyerahkan 'mock cheque' baucar daging raya kepada Pengarah Yayasan Salleh Saidin, Abdul Azid Husin sambil disaksikan Mohd Salleh pada Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim, pada Khamis.

ALOR SETAR - Sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat kira-kira 10,000 penduduk kurang berkemampuan di sekitar Kuala Kedah dekat sini apabila bakal menerima baucar daging raya sumbangan Yayasan Salleh Saidin.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pihaknya memperuntukkan RM100,000 bagi membantu masyarakat memerlukan, sekali gus membolehkan mereka meraikan Aidilfitri dengan lebih bermakna seperti orang lain.

Iklan
Iklan

Mohd Salleh berkata, pihaknya menyediakan 10,000 baucer untuk diberikan kepada penduduk setempat bagi mendapatkan ayam ataupun daging untuk kegunaan ketika musim perayaan nanti.

"Bersempena bulan Ramadan ini, kami mengambil inisiatif berkongsi rezeki dengan menyediakan 10,000 baucar meliputi 5,000 untuk ayam dan 5,000 lagi untuk daging dianggarkan bernilai RM100,000.

Iklan

"Penerima baucar berkenaan akan mendapat diskaun RM10 untuk pembelian daging atau ayam dibuat mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim di sini pada Khamis.

Katanya, sebagai contohnya, jikalau harga ayam RM17, maka mereka hanya perlu membayar RM7 memandangkan telah mendapat diskaun RM10 dengan penggunaan baucar berkenaan.

Iklan

"Selain pemberian baucar daging raya, kami juga memberi sumbangan wang tunai RM1,000 kepada enam maahad tahfiz dan dua rumah anak yatim di kawasan Kuala Kedah untuk aktiviti mereka," katanya.

Sementara itu, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salin berkata, pihaknya menyambut baik sumbangan dilakukan bagi membantu golongan memerlukan, pelajar maahad tahfiz dan anak yatim berkenaan.

Katanya, sumbangan berkenaan dilihat membantu meringankan beban golongan berkenaan khususnya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi sekali gus berharap aktiviti sedemikian diteruskan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.