Kerajaan Selangor tangguh program sumbangan

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menangguhkan sementara program rasmi terutama yang melibatkan penyerahan sumbangan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata ini bagi mengelak timbul persepsi bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) mahu ‘membeli undi’ untuk PRK berkenaan.

Iklan
Iklan

"Segala program rasmi kerajaan habis sampai ke 15 Februari, jadi 16 Februari (hari penamaan calon) ke hadapan tiada program terutama program sumbangan dan serahan sebab kita tidak mahu timbulkan sebarang persepsi dan cuba menampilkan sikap gentleman dalam pertandingan.

"Namun, jika ada keperluan program rasmi sebagai Menteri Besar saya tetap akan hadir terutama yang telah dirancang dan direncana lama. Kita hanya melakukan atau melaksanakan apa yang telah kita rancang sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2019 Persekutuan Persatuan-persatuan Hokkien Malaysia di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih yang menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon PH, BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon bebas. - Bernama