1,185 karton rokok seludup dirampas

Iklan
Rokok seludup dan kenderaan yang dirampas dalam Op Kontraban Pasukan Gerakan Am (PGA) di Senggarang, Batu Pahat pada Khamis. Foto: Ihsan PGA

BATU PAHAT - Seorang lelaki berputih mata apabila kenderaan dan 1,185 karton rokok seludup bernilai lebih RM64,000 miliknya dirampas dalam Op Kontraban oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan di Senggarang, di sini pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan itu dilakukan pegawai dan anggotanya kira-kira jam dua petang di Jalan Parit Balak, Senggarang.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas 1,185 karton rokok seludup pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam, dengan anggaran nilai barangan RM64,049.

"Kita turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Innova yang dipercayai digunakan dalam sindiket tersebut. Anggaran keseluruhan nilai rampasan dalam operasi ini berjumlah lebih RM281,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Jelas beliau, suspek lelaki yang dipercayai penyeludup bagaimanapun berjaya meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Tambahnya, kesemua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Iklan

"Saya menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban,” ujarnya.