KOTA KINABALU – Seramai 953 pegawai dan anggota polis di negeri ini dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) atas khidmat cemerlang dalam melaksanakan tugas memerangi pencerobohan pengganas dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013.
Penganugerahan khas itu disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu majlis majlis khas di Dewan Bangkuasi, Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Iklan
Iklan
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mohd Shafie berkata anugerah tersebut merupakan salah satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap jasa bakti anggota keselamatan yang terlibat dalam insiden pencerobohan berkenaan.
"Walaupun penganugerahan ini tidak setimpal dengan pengorbanan yang dicurahkan oleh pasukan keselamatan khususnya polis di negara ini, tetapi kita selaku kerajaan dan pimpinan perlu menghargai sumbangan yang tidak terhingga itu,” katanya.
Tarikh 9 Februari 2013 menjadi detik hitam sejarah negara apabila kira-kira 150 penceroboh dari selatan Filipina dikesan mendarat secara berperingkat di Kampung Tanduo sebelum kehadiran mereka dilaporkan kepada polis pada 12 Februari 2013.
Seramai 10 anggota pasukan keselamatan dan 65 penceroboh dilaporkan terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013 dan di Kampung Simunul, Semporna pada 2 Mac 2013, selain dalam Ops Daulat yang bermula pada 5 Mac di gugusan Labian, Lahad Datu. - Bernama