Status KUIM sebagai universiti penuh dijangka akhir tahun ini

Iklan
Sulaiman (kiri) menyerahkan dokumen pemasyhuran Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) kepada Mohd Ali pada Istiadat Pemasyhuran Canselor KUIM, pada Jumaat. Foto: Bernama (2021) Hak Cipta Terpelihara

ALOR GAJAH - Enam perkara atau syarat perlu dipenuhi sebelum status naik taraf Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) sebagai universiti penuh dikenali dengan nama baharu Universiti Islam Melaka (UniMel) dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, pada 8 April, KUIM telah mendapat surat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Pengajian Tinggi ke arah UniMel dan setakat ini perkembangan proses ke arah universiti penuh sudah mencapai 95 peratus.

Iklan
Iklan

"Cumanya ada beberapa perkara atau kriteria untuk mencapai status universiti penuh perlu dipenuhi dan sebelum penggunaan nama UniMel dapat digunakan secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pemasyhuran Canselor KUIM, di sini pada Jumaat.

Pada istiadat itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dimasyhurkan sebagai Canselor KUIM dan majlis turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Iklan

Mengulas lanjut, Noor Effandi berkata, antara enam syarat yang perlu dipenuhi sebelum diiktiraf sebagai universiti penuh adalah bilangan profesor dan profesor madya, penyelidikan dan pembangunan serta beberapa perkara berkaitan kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa institusi pengajian tinggi di bawah kerajaan negeri Melaka akan digabungkan dengan UniMel bagi memperkasa peranan universiti itu pada masa hadapan.

Iklan

Terdahulu, Mohd Ali ketika berucap berkata, beliau optimis KUIM akan pergi lebih jauh dan maju bagi merealisasikan hasrat menaik taraf KUIM ke UniMel.

"KUIM memainkan peranan cukup signifikan dalam memperkasa ilmu dan kualiti dalam kalangan warga KUIM melalui pendidikan tinggi. Justeru, KUIM hendaklah terus mengekalkan visinya menjadi sebuah pusat pengajian tinggi yang unggul dan cemerlang khususnya dalam pengajian berteraskan Islam.

"Secara peribadi, pemasyhuran saya sebagai Canselor KUIM adalah satu kebanggaan besar bagi saya kerana KUIM adalah sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang memiliki kisah dan sejarah cukup istimewa dalam membina kecemerlangan akademik dan jati diri anak didik KUIM,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: KUIM dinaik taraf ke universiti penuh