KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kakitangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) supaya mempertingkatkan usaha mengagihkan wang zakat kepada golongan asnaf.
Baginda yang juga Yang Dipertua MUIP bertitah, perkara itu amat penting kerana golongan berkenaan dilihat memerlukan bantuan terutama ketika Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Iklan
Iklan
"Semua rakyat Pahang beragama Islam diseru agar segera menunaikan zakat fitrah yang merupakan Rukun Islam yang keempat," titah Tengku Hassanal dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media selepas baginda membayar zakat fitrah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini pada Jumaat.
Terdahulu, baginda berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Pembayaran zakat fitrah boleh dibuat melalui para amil yang dilantik oleh MUIP atau secara dalam talian melalui laman sesawang MUIP atau Pahang Go.
Tengku Hassanal juga menyeru kepada rakyat dan badan korporat yang berkemampuan serta cukup syarat supaya membayar zakat harta.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat di Pahang yang disifatkan sebagai wira tidak didendang dalam menyumbang pembangunan asnaf di negeri ini. - Bernama