Inkues Adib: Kecederaan disebabkan objek tumpul

Iklan
Mohd Hafizan antara saksi Inkues Kematian Muhammad Adib hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

SHAH ALAM - Kesan merah dan lebam pada kecederaan Muhammad Adib Mohd Kassim adalah dipercayai disebabkan oleh objek tumpul.

Saksi ke-10 Inkues Kematian Muhammad Adib, Mohd Hafizan Nordin berkata, ia adalah berdasarkan andaiannya yang sebelum ini bertugas sebagai pembantu perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Iklan
Iklan

"Bukan kayu. Rasanya seperti tangan atau tapak kasut keras," katanya.

Menurutnya, dia nampak kecederaan Muhammad Adib ketika membantu mengusung anggota bomba itu ke kabin (bucket) belakang Mitsubishi Storm miliknya untuk dibawa ke hospital.

Iklan

"Saya nampak kecederaan bermula di bahagian bawah ketiak sehingga kawasan pinggang Muhammad Adib kerana ketika itu dia hanya berseluar celoreng," katanya.

Dia berkata, dia berada di Jalan Usaha berdekatan Kuil Sri Maha Mariamman untuk ke Kota Kemuning.

Iklan

"Saya tak tahu di situ ada kuil sebab saya menggunakan aplikasi Waze.

"Apabila tiba saya nampak ada orang menjerit meminta tolong kepada kereta di hadapan namun kereta itu tidak menurunkan cermin," katanya.

Mohd Hafizan,33, yang kini bekerja sebagai pengawal peribadi berkata, dia kemudiannya menurunkan cermin dan membuka pintu untuk turun daripada kenderaannya.

"Ketika menurunkan cermin, ada seorang perempuan India menjerit kepada saya: Dik, dik jangan turun nanti kena pukul.

"Tetapi saya sudah turun dan pergi ke arah mereka yang mengusung anggota bomba dan bawa ke kabin belakang," katanya.

Menurutnya, dia bertanyakan dengan salah seorang kumpulan itu hospital mana yang terdekat sebelum memutuskan untuk ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC)

"Perjalanan memakan masa 10 hingga 15 minit dengan kelajuan 80 hingga 100 km/j," katanya.

Prosiding pada hari keenam ditangguhkan dan bersambung hari ini jam 10 pagi.