Menteri tidak sepatutnya jadi Pengerusi SPP - KPN

Iklan
Abdul Hamid Bador - Foto Sinar Harian Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyarankan agar Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) tidak sepatutnya dipengerusikan oleh seorang menteri bagi mengelak campur tangan politik.

Abdul Hamid berkata, lebih baik jawatan Pengerusi SPP itu diserahkan kepada seorang hakim atau bekas hakim.

Iklan
Iklan

"Apabila ia dipengerusikan oleh menteri, mungkin akan ada unsur politik," katanya pada sidang akhbar terakhir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, perkara itu telah dibangkitkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Iklan

"Saya mahu jelaskan tanggungjawab menteri selaku Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) ada hadnya, beliau (menteri) diberi mandat untuk menetapkan dasar, apakah hala tuju pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Seorang menteri tidak boleh mencampuri urusan kawal selia perjalanan tugas harian PDRM serta menentukan siapa jadi Ketua Polis Negeri atau pengarah. Itu bukan kerja beliau (menteri)," katanya.

Iklan

Abdul Hamid berkata, pengerusi SPP sepatutnya mengadakan mesyuarat lebih kerap agar kes-kes berkaitan tatatertib dapat diselesaikan.

"Banyak siasatan salah laku terhadap anggota dan pegawai polis tergantung, mesyuarat SPP seharusnya diadakan setiap sebulan untuk menyelesaikan isu tersebut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Audio itu bukan mirip, saya mengaku itu saya' - Hamzah

Abdul Hamid berharap menteri jangan bermain politik dan seharusnya memikirkan masa depan serta kesejahteraan PDRM.

"Saya mengatakan semua ini kerana orang ramai perlu mengetahui apa yang berlaku dengan pasukan PDRM.

"Saya tidak mempunyai niat untuk melanjutkan tempoh kontrak, saya akan menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada hari Isnin," katanya.

Abdul Hamid berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan Muhyiddin ketika menjadi Menteri Dalam Negeri semasa kerajaan Pakatan Harapan berkuasa.

"Beliau tidak pernah mendesak, sebaliknya hanya mengatakan beberapa kata dorongan kerana saya tahu apa yang harus dilakukan," katanya.

Sebelum ini, Hamzah menafikan pembabitan beliau dalam urusan pertukaran pegawai kanan polis.

Beliau berkata, sebarang urusan pertukaran pegawai kanan polis adalah keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

"Tapi ini jelas, kerana saya adalah Pengerusi SPP kalau ada keputusan yang telah dikeluarkan adalah keputusan SPP, tapi itulah kadang-kadang keputusan ini ada khilafnya ada orang yang kadang-kadang menerima sesuatu keputusan itu dengan cara (maksud) lain," katanya.