Kurniawan mahu Rhinos tambah derita Bos Gaurus

Iklan
Sabah bakal turun menentang Perak di Stadium Likas, Ahad ini. - Foto Sabah Football Club

KETUA Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto menuntut barisan pemainnya meneruskan aksi konsisten mereka selepas menyaksikan anak buahnya mempamerkan aksi cemerlang tanpa tewas dalam tiga perlawanan terakhir.

Bakal turun menentang Perak FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu Ahad ini, skuad kendalian Kurniawan berpeluang untuk mengejar kedudukan enam teratas Liga Super, andai meraih kemenangan dalam pertemuan tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya rasa ini peluang buat Sabah untuk tampil dengan lebih bersemangat kerana bermain di hadapan penyokong sendiri dan kami sudah tekad menggunakan kesempatan ini sebaiknya bagi meraih mata penting.

"Namun, jangan mudah terlalu yakin dan saya mahu mereka semua sentiasa bekerja keras serta kekalkan fokus dalam perlawanan yang kita lalui bermula dengan Perak FC,” katanya menerusi kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat.

Iklan

Kurniawan turut memberi peringatan bahawa mereka perlu terus bekerja keras dalam setiap perlawanan sambil menegaskan tiada sesiapa dalam pasukan dijamin tempat dalam kesebelasan utama.

"Aksi dengan Perak FC, diikuti Melaka United antara dua perlawanan yang kami cuba kena menang kerana kedua-dua pasukan sedang berada dalam kedudukan yang sangat rapat antara satu sama lain, selain cuba bersaing dengan Kedah,” katanya.

Iklan

Skuad Sang Badak sebelum ini berjaya mengikat Selangor FC 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Penang FC 1-1 di Stadium Bandaraya, selain membenam UiTM FC 4-0 di Stadium Likas.

Selepas meraih 10 mata untuk menduduki tangga kesembilan, The Rhinos hanya satu mata mengatasi The Bos Gaurus, selain dipisahkan dengan perbezaan jaringan yang meletakkan Melaka United di tempat kelapan.

Sementara itu, Kurniawan berharap peminat Sabah FC memberikan ruang kepada penyerang import dari Liberia, Sam Johnson yang dikatakan gagal memberikan impak kepada pasukan dalam beberapa perlawanan apabila sekadar meledak dua jaringan setakat ini.

"Beliau sebenarnya seorang pemain yang bagus berdasarkan penilaian kami, cuma kali ini nampak beliau seperti kurang lasak tetapi dari segi taktikal, beliau telah mengikut apa yang kita harapkan,” katanya. - Bernama