TERENGGANU FC (TFC) mahu mengakhiri pusingan pertama Liga Super dengan rentak kemenangan ketika berdepan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
Namun, pengendali TFC, Nafuzi Zain menjangkakan anak-anak buahnya bakal berdepan tugas mencabar memandangkan skuad Harimau Kumbang berada dalam prestasi terbaik ketika ini.
"Kami harus berwaspada kerana main di tempat sendiri bukanlah jaminan untuk meraih kemenangan. Sebelum ini pun banyak kemenangan kami raih di gelanggang luar berbanding tempat sendiri.
"Tetapi sememangnya kami berharap dapat meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan kali ini kerana ini adalah perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super musim ini.
"Jadi kesempatan beraksi di tempat sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Saya harap para pemain mengikut taktikal yang diatur dan mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh mengundang padah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Menjelang pertemuan menentang Penang FC itu, TFC masih segar dengan kejayaan menewaskan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri minggu lalu.
Begitupun, Nafuzi mengingatkan barisan pemainnya agar tidak dibuai dengan kejayaan manis itu, sebaliknya beliau meminta skuad Peteh terus fokus bagi mengharungi saingan liga musim ini.
"Buat masa ini, kami tidak pernah terfikir untuk memintas JDT selaku pendahulu liga. Yang penting, kami terus konsisten dalam mengharungi setiap perlawanan kerana perjalanan liga masih panjang.
"Kami akan fokus satu per satu perlawanan terlebih dulu. Jika para pemain dapat menampilkan aksi sepertimana kami menentang JDT minggu lalu, itu sudah dianggap cukup baik,” jelasnya.