Apa itu SOP?

Iklan
Gambar hiasan

SEJAK pandemik Covid-19 membadai negara sekitar Mac 2020, antara kalimah yang tiba-tiba menjadi sebati di bibir semua sehingga kini adalah prosedur operasi standard (SOP).

Selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SOP juga antara kalimah yang menjadi kelaziman pertuturan harian warga kita, daripada golongan bangsawan kayangan sehinggalah golongan marhaen gentayangan.

Iklan
Iklan

Jika dahulu, kalimah SOP barangkali agak asing buat semua. Ia terhad mungkin di sekitar sektor pekerjaan tertentu sahaja dan bukanlah antara kalimah biasa yang digunakan dalam pertuturan harian.

Barangkali inilah hikmahnya musibah Covid-19, akhirnya kalimah SOP diangkat martabatnya sehingga menjadi kalimah mantra dalam bicara seharian semua.

Iklan

Hampir acap kali pak menteri menggunakan perkataan SOP dalam setiap tutur kata mereka.

Katanya, SOP sudah diperincikan bagi setiap aspek kehidupan kita yang terkesan dek Covid durjana. Malah, setiap kali pak menteri bersuara, ada sahaja SOP baharu yang tiba. Kononnya, ia tiba setelah pandangan semua pihak berkaitan diambil kira.

Iklan

SOP yang tiba itu juga ada pelbagai rupa. Daripada hal-hal penguatkuasaan, perayaan, perindustrian, sukan sehinggalah berita palsu punya cerita, alasannya tetap serupa, hanya mahu menjaga kepentingan semua.

Cuma malang, kalau dilihat sama ada yang menguat kuasa dan yang kena SOP, nampak dua-dua macam tak faham apa itu SOP.

Mengapa jadi begitu barangkali sukar dimengertikan. Mungkin sifat manusia yang sentiasa lupa. Lebih malang sudahlah begitu, ada pula kisah-kisah double standard (pilih kasih) melatari permasalahan SOP yang sudah pun amat menyedihkan.

Kalau kes-kes melanggar SOP dan pilih kasih dalam penguatkuasaannya bagi tempoh setahun PKP dikuat kuasa disenaraikan, nescaya berjela panjangnya.

Daripada pak menteri, instafamous dan orang seni, sampailah orang biasa, nampaknya SOP itu sendiri bukanlah satu SOP dalam erti kata sebenarnya.

SOP bukan sekadar apa yang boleh dan yang dilarang. Sepatutnya SOP bertindak sebagai pedoman, petunjuk atau arahan secara umum serta khusus kepada semua pihak dalam menjalankan fungsi dan peranan masing-masing secara tersusun dan terancang.

Kunci kejayaan perencanaan SOP yang baik banyak bergantung kepada aspek konsistensi penguatkuasaan dan kesediaan rakyat mematuhinya.

Mana-mana SOP yang telah ditetapkan sekiranya ada pihak tidak komited dan konsisten mematuhinya, maka hasil baik yang diharapkan daripada SOP itu hanyalah impian seroja semata-mata.

Diperhatikan sehingga hari ini aspek terpenting SOP itu sendiri gagal dihayati pemerintah dengan baik dan berkesan.

Selain aspek konsistensi, aspek melindungi dan menghindari kegagalan serta malapetaka daripada kegagalan tersebut juga tidak timbul sepanjang pelaksanaannya.

Yang dipaparkan barangkali aspek ketegasan penguatkuasaan menerusi SOP tersebut (walaupun jelas bersikap pilih kasih dan tidak konsisten) tetapi langsung lenyap elemen kemanusiaan dan adab yang mendokongi aspek penguatkuasaan SOP tersebut.

Elemen adab berupaya melindungi dan menghindari kegagalan akibat ketidakpatuhan SOP.

Seperti yang dikatakan oleh pengarang buku etika terkenal, Judith Martin:"Kebebasan tidak akan berfungsi tanpa peraturan dan etika, dan masyarakat tidak akan berfungsi dengan bebas melainkan mereka diatur oleh etika.”

Itulah satu aspek yang barangkali sedang diperlihatkan dalam kes-kes penguatkuasaan SOP yang akhirnya menjadikan pematuhan SOP itu sering dipandang sinis.

Apakah SOP wajar dipatuhi dan dihormati semua kalau penguatkuasaan hanya pantas menyaman pelajar atau penjaja kecil tetapi sengaja lembab bertindak kepada mereka yang berstatus dan ada kedudukan?

Ke mana prinsip menjunjung nilai-nilai teras kemanusiaan yang sepatutnya menjadi asas yang menentukan ambang mutlak moral dalam setiap aspek penguatkuasaan.

Dan adakah pelaksanaan SOP negara ini juga sudah tidak lagi melihat kepentingan aspek konteks ketika memutuskan apa yang betul dan mana yang salah dalam penguatkuasaannya?

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)